Selasa, 16 Oktober 2012

02 di changlun - Google Blog Search

02 di changlun - Google Blog Search


Mukhriz idam bina pusat aeroangkasa <b>di Changlun</b> | Berita Terkini <b>...</b>

Posted: 14 Oct 2012 09:10 AM PDT

Kerajaan berhasrat membangunkan kawasan Changlun sebagai pusat aeroangkasa berikutan permintaan terhadap bidang itu di Asia semakin meningkat.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata walaupun idea yang dicetuskannya itu masih baharu, namun terdapat beberapa sebab Changlun dijadikan lokasi bagi melaksanakan cadangan tersebut.

"Di Changlun sudah ada sebuah syarikat, Asian Composites Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan komponen kapal terbang Boeing dan kilang terbabit sudah beroperasi sejak 12 tahun lalu. Namun peluang itu tidak digunakan untuk melahirkan industri sampingan atau hiliran, yang menyokong syarikat itu.

"Ini merugikan sebenarnya, dari segi peluang keemasan yang terlepas namun masih belum terlambat kerana industri aeroangkasa di Asia, khususnya permintaan terhadap pesawat, paling pesat membangun. Jadi, kita patut guna peluang ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Himpunan Usahawan Wilayah Utara di Sungai Petani hari ini.

Mukhriz berkata keluasan tanah yang belum dibangunkan di Changlun turut menjadi faktor pemilihan kawasan itu sebagai lokasi cadangan mewujudkan pusat aeroangkasa.

"Pendekatan kementerian dan Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) ialah pengelompokan iaitu jika ada industri induk di sesuatu tempat, kita mahu cari syarikat lain untuk menyokong syarikat itu.

"Setakat ini, banyak syarikat yang berminat malah dalam pertemuan saya dengan beberapa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pagi tadi, mereka turut menyambut baik cadangan ini dan mengemukakan banyak idea yang dapat membantu dalam program perintis ini," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata Kulim, yang terkenal sebagai kawasan perindustrian, juga boleh dimanfaat dengan mewujudkan sebuah universiti berasaskan sains bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti untuk memenuhi keperluan industri.

"Saya yakin semua anak Kedah mahu melihat negeri ini lebih maju daripada sekarang, dan dari segi kemampuan dan peluang, tidak ada sebab kita boleh terpinggir dari arus pembangunan perdana.

"Dalam hal ini, bekalan modal insan berkualiti untuk industri tertentu, tidak kurang pentingnya dan salah satu cara melahirkan modal insan seperti ini ialah dengan mewujudkan universiti sains," katanya.

Mukhriz berkata di negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Korea, universiti berteraskan sains, khususnya penyelidikan dan pembangunan, dikelilingi industri yang canggih, sebaliknya di Taman Teknologi Tinggi Kulim tidak ada universiti.

"Jadi, saya cadangkan kita dirikan sebuah universiti yang dapat bekerjasama rapat dengan industri sehingga industri menganggap universiti sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan dalaman mereka.

"Industri pula boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai trend terbaru dan permintaan pasaran daripada industri," katanya.

Mukhriz berkata gandingan kedua-dua pihak akan menjayakan hasrat untuk melihat Kedah lebih maju berteraskan industri, namun ia tidak bermakna industri pertanian yang selama ini menjadi kekuatan negeri ini akan dipinggirkan.

- Bernama

Article source: http://www.malaysiakini.com/news/211664

Tiada ulasan:

Catat Ulasan