Isnin, 13 Ogos 2012

02 di langkawi - Google Blog Search

02 di langkawi - Google Blog Search


Makanan Eksotik Menanti Pengunjung <b>Di Langkawi</b> | Darulaman <b>...</b>

Posted: 15 Jul 2012 08:07 AM PDT


LANGKAWI, 12 Julai (Bernama) — Langkawi, yang memegang status pulau bebas cukai, bukan sekadar dilihat sebagai syurga pelbagai jenis coklat malah platform membeli-belah barang-barang seperti pinggan mangkuk dan kain batik.

Pulau peranginan ini juga dikenali sebagai destinasi pelancongan dengan legenda seperti makam Mahsuri dan Padang Mat Sirat.

Namun, agak jarang topik 'makanan' di pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini diuraikan. Walhal, 'makanan' juga satu faktor utama pemilihan destinasi percutian.

Justeru, kesempatan mengikuti Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia (KCC1M) anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama majalah Gaya Travel pada 23-26 Mei lepas, memberi peluang kepada penulis menerokai makanan di pulau yang indah ini!

KARI IKAN

Setelah penat seharian berjalan, bermain air pantai, sudah tentu diri akan kepenatan dan perut pula minta diisi. Memilih destinasi untuk makan juga kadangkala boleh membuatkan seseorang pelancong itu pening kepala.

Justeru itu, Tourism Malaysia Kedah menerbitkan risalah "Langkawi Food Trail" bagi dijadikan panduan kepada para penggemar makanan.

Dalam risalah berkenaan menyebut akan sebuah gerai makan di tepi jalan di Kuala Teriang, berhadapan dengan restoran Seafood Shin Mi, sebagai hentian yang wajib disinggah oleh penggemar gulai kari ikan.

Gerai berkenaan tidaklah 'semegah' mana pada awal hari. Malah, mungkin ada menyangka ia hanyalah sekadar warung 'biasa-biasa' ekoran dekorasinya tidaklah sehebat mana serta hanya beratapkan zink sahaja.

Namun, atmosferanya bertukar sekitar pukul 7.00 malam sehingga lewat malam apabila pelanggannya mula memenuhi ruang warung, dan ada terpaksa berdiri sementara menunggu giliran.

Jadi apa menariknya warung ini?

Dikendalikan oleh Rajemah Ahmad atau Mak Teh dan anak-anaknya, istimewanya makanan di warung ini ialah ia hanya dimasak apabila dipesan oleh pelanggan. Dihidang secara panas-panas, pelanggan boleh memilih hasil laut segar yang dimasak mengikut resepi 'rahsia' Mak Teh.

Terdapat pelbagai jenis ikan seperti bawal, tenggiri, kembong, sotong, udang, yang dimasak mengikut kehendak pelanggan, tetapi kebiasaannya gulai kari Mak Teh menjadi pilihan wajib.

Biarpun gulai kari Mak Teh ini agak cair, namun bau rempahnya sahaja sudah menusuk kalbu ditambah pula dengan penggunaan ikan segar. Menikmati gulai kari bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak dimakan dengan sambal.

Menawarkan dua jenis sambal belacan, tetapi paling membuka selera adalah sambal yang dicampurkan dengan hirisan buah macang sambil dimakan dengan pelbagai jenis ulaman segar. Selain itu, ikan goreng yang ditabur dengan hirisan bawang (telah digoreng menjadi bawang goreng) dan cili kering goreng sudah tentu membangkit selera.

Sekiranya bernasib baik, anda mungkin berpeluang menikmati ikan Sebelah Laut atau lebih dikenali ikan sisa Nabi yang digoreng kerana ia hanya ada pada musim tertentu sahaja.

JOM IKAN BAKAR

Bagaikan tidak lengkap percutian di pulau, sekiranya tidak menikmati ikan bakar, tetapi mana menarik?

Bagi penggemar tegar ikan bakar, tentunya tidak akan melepaskan peluang menikmati keenakan isi ikan bakar segar di restoran Jom Ikan Bakar yang terletak di Padang Mat Sirat.

Masih mengekalkan cara tradisional pembakaran ikan menggunakan arang berbanding cara moden yang diaplikasi pada masa sekarang di kebanyakan restoran ikan bakar, beritahu pengusaha Jom Ikan Bakar, Mazlina Radzi, itulah keistimewaan terdapat di sini.

"Kami masih mengekalkan cara lama kerana rasanya berbeza, lebih sedap apabila dibakar menggunakan arang. Ikan pula hanya dibakar apabila pesanan dibuat. Tetapi jangan risau kerana proses memanggang tidak lama," katanya kepada Bernama.

Menawarkan pelbagai jenis ikan seperti siakap, terubuk, pari dan cencaru, restoran ini turut membakar ayam, kambing dan sotong.

Keistimewaan ikan bakar di restoran ini juga terletak kepada 'sos' yang dipercikkan semasa proses memanggang ikan, sekali gus menambahkan lagi keenakan ikan bakar itu.

Dicicah dengan sambal belacan mahupun air asam, pengunjung akan dihidangkan dengan pelbagai jenis ulam segar.

Di samping ikan bakar, pelanggan juga boleh memilih pelbagai jenis aneka masakan campur daripada pelbagai 40 jenis gulai dan sayur, menggunakan konsep layan diri.

Menariknya, restoran yang pernah dipanggil 'kedai ekonomi' ini bukan sahaja menawarkan harga berpatutan malah air juga diberi secara percuma kepada pelanggan.

KERABU BERONOK DI RESTORAN SITI FATIMAH

Namanya sahaja sudah pelik, tetapi ia adalah kerabu popular dan wajib dijamah apabila berkunjung ke Langkawi. Sejenis makanan laut persis gamat dan hidup di kawasan pantai berselut, beronok hanya boleh ditemui di Langkawi sahaja.

Satu kerugian sekiranya tidak mencubanya dan antara restoran popular dengan kerabu beronok adalah di restoran Siti Fatimah, terletak di Jalan Mata Air.

Disediakan secara mentah-mentah kerana beronok tidak boleh dimasak, ia akan dihiris terlebih dahulu sebelum digaul dengan bahan-bahan seperti kerisik, bawang dan sebagainya untuk dijadikan kerabu.

Mendengarnya disediakan secara mentah-mentah, mungkin ada segelintir terasa tidak boleh makan. Namun, bagi mereka yang sudah mencubanya akan sentiasa mencari kerabu beronok setiap kali berkunjung ke Langkawi.

Ia sedikit kenyal tetapi isinya lembut dan sedap ditambah pula dimakan dengan nasi panas. Selain terkenal dengan kerabu beronok, restoran ini juga menyediakan pelbagai jenis juadah kampung dengan harga berpatutan.

'LANGKAWI FOOD TRAIL'

Gulai Panas Kuala Teriang, Jom Ikan Bakar dan Restoran Siti Fatimah adalah antara restoran yang tersenarai dalam risalah Langkawi Food Trail, yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit tahun lepas.

Risalah Langkawi Food Trail ini bertindak sebagai panduan kepada penggemar makanan untuk menikmati masakan unik Langkawi.

Merupakan program yang melibatkan ahli komuniti tempatan, ia bukan sahaja bertujuan mencapai kelestarian pembangunan pelancongan setempat malah mempromosikan pulau legenda ini sebagai destinasi makanan.

Ketika ini, sebanyak 21 buah gerai dan restoran mengambil bahagian dan setiap daripadanya menyajikan pelbagai jenis menu unik dan enak untuk dipilih seperti sup gamat dan nasi Atan.

Pemilihan gerai dan restoran ini turut mengambil kira kualiti makanan, perkhidmatan pelanggan serta kebersihan

Pelancong boleh mendapatkan risalah ini di setiap pusat penerangan pelancongan Tourism Malaysia di Kuah dan dua pintu masuk utama ke Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Kompleks Jetty Point.

Langkawi, permata hati Kedah menggamit pelancong bukan sekadar keasyikan panoramanya, tempat-tempat bersejarah, syurga membeli-belah malah ia juga impian kepada penggemar makanan!

– BERNAMA

Wordless Wednesday : Harga Parking <b>di Langkawi</b> | iMBobo

Posted: 22 Jul 2012 05:22 PM PDT