KUAH - Gangguan bekalan air berlaku di beberapa lokasi sekitar Langkawi sejak Jumaat lalu, membabitkan 19,000 akaun pengguna domestik dan industri perhotelan.

Pegawai Perhubungan Awam, Syarikat Air Darul Aman (Sada), Rofedi Sulaiman berkata, gangguan itu disebabkan oleh kegagalan 'pump hi lift' yang terletak di loji Padang Saga, Bukit Kemboja Langkawi.

"Pam tersebut mengalami kerosakan kerana ditenggelami air akibat hujan lebat dan banjir kilat di sini, Khamis lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebanyak lima pam ditenggelami air dan kerja pembaikan giat dijalankan bagi memastikan keadaan pulih seperti sediakala.


"Kawasan yang mengalami gangguan ialah Pantai Chenang, Kampung Bayas, Kampung Kedawang, Kampung Temoyong, Kampung Padang Wahid dan seterusnya hotel dan chalet yang berada sekitar kawasan tersebut.

"Buat masa sekarang pengguna terlibat dengan masalah gangguan air ini telah dibekalkan air melalui lori tangki dan tangki statik. Kami mohon maaf atas kesulitan yang dialami. Insya-ALLAH gangguan bekalan air akan berakhir esok," katanya.

Rofedi berkata, pengguna yang mengalami masalah bekalan air boleh menghubungi bilik gerakan Sada di talian 04-9660673 dan Taliworks 04-9663028.