Beliau telah masuk menghadap Sri Paduka Baginda dan menzahirkan kepada baginda tentang kesempurnaan agama Islam serta memberi nasihat di atas jalan agama ini kepada baginda dan menteri-menterinya. Maka dikurniakan Allah s.w.t., berimanlah Sri Paduka Baginda dengan segala menterinya dan baginda menukar namanya kepada Sultan Muzaffar Shah dan negeri kepada Kedah Darul Aman.Sri Paduka Baginda sangat menyanjung tinggi Sheikh Abdullah kerana keikhlasan beliau terhadap baginda, kebijaksanaan dan kesopanannya. Baginda kemudiannya telah melantik Sheikh Abdullah sebagai penasihat peribadinya.
Pada suatu hari, Sri Paduka Baginda bertanya kepada Sheikh Abdullah apakah yang lebih mulia dalam Tanah Arab? Jawab Sheikh Abdullah, selain daripada masjid, benda yang paling mulia ialah menara, iaitu tempat untuk melaksanakan azan dan memuji nama Allah dan Rasul.
Maka, baginda pun bertitah agar dibina sebuah menara di satu tempat yang tinggi dan berdekatan. Cadangan Sheikh Abdullah agar tapak menara itu dibina di kemuncak Gunung Jerai telah diperkenankan oleh baginda Sultan. Katanya, menara yang hendak dibina itu bukan sahaja untuk dijadikan tempat azan tetapi sebagai satu tempat bagi memperingati pertukaran nama baginda daripada Maharaja Derbar Raja kepada nama Islam baginda; Sultan Muzaffar Shah serta nama negeri daripada 'Kalaha' atau 'Kataha' kepada negeri Kedah Darul Aman.
Sambung baca di Darulaman.My