Ratu
Kes meningkat membabitkan wanita Kes 1:
DIA tidak pernah terfikir atau membayangkan, akan melalui satu perjalanan amat payah dalam hidupnya iaitu ketika usia masih muda dan sewaktu jiwa keibuan baru berputik dalam diri.
Takdir mengatasi segala-galanya dan barangkali inilah ujian getir yang harus diterima Emilzunnur Elis, 30, apabila disahkan mengalami strok selepas melahirkan anak pertama.
Hampa dan luluh hatinya apabila tanggungjawab sebagai ibu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Berbanding wanita lain yang pertama kali bergelar ibu, perasaan gembira berbunga mekar terutama setiap kali dapat mendukung bayi baru dilahirkan.
Ini tidak pernah berlaku pada Emilzunnur kerana serangan strok menyebabkan bahagian sebelah kirinya lumpuh dari atas hingga ke kaki, sekali gus menyukarkannya menguruskan diri sendiri, apatah lagi bayi yang baru dilahirkan.
"Saya bersalin secara normal tetapi terpaksa menggunakan vakum. Malam hari pertama bersalin, saya mengalami demam panas yang kuat sehingga tidak boleh mengangkat tangan sebelah kiri. Saya dimaklumkan, saya diserang strok kerana ada darah beku pada otak dan percayai berlaku ketika saya tidur," cerita Emilzunnur.
Luluh hatinya mendengar berita itu. Tidak pernah terlintas di fikirannya strok berlaku pada wanita selepas bersalin.
Eksekutif di syarikat swasta itu mengakui tidak mampu menyembunyikan perasaan sedih dan kecewa, Emilzunur yang terpaksa duduk di atas kerusi roda menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
Namun, Emilzunnur tidak boleh hanyut mengikut kata hati dan perasaan negatif. Atas nasihat doktor, ibu muda ini cuba belajar berjalan. Bermula dengan bantuan tongkat, dia berlatih berjalan tanpa bantuan sebarang peralatan.
Cuti bersalin dua bulan, disambung dengan tiga bulan cuti sakit bagi membolehkannya menjalani rawatan terapi.
"Mula-mula terapi, saya memang cepat marah dan setiap kali tiada perubahan saya akan berasa malas sekali untuk meneruskan rawatan. Ada ketikanya, saya berfikir mengapa perkara ini terjadi kepada saya, saya bukanlah jahat sangat.
"Hinggalah satu hari, saya menonton televisyen rancangan agama mengenai dugaan hidup yang diberikan Allah kepada hamba-Nya. Mendengarnya, saya berasa insaf dan cuba mencari kekuatan diri," kata Emilzunnur yang semakin tabah menjalani terapi pemulihan.
Ibu muda ini beruntung kerana suami, Rudy Idris dan keluarga sentiasa memberi sokongan, membuatkan dia kini lebih menghargai orang di sekeliling dan menyedari, kehidupan ini singkat.
Emilzunnur juga cuba menyusun semula keutamaan hidupnya terutama masa bersama keluarga dan kerjaya. Dia kini sudah boleh berjalan tetapi agak perlahan dan bersyukur kerana sudah pun dapat bekerja semula.
"Sejak sakit saya memang mudah tersinggung tetapi kini semakin berkurangan. Semua kerja di rumah, suami yang buat dan dia amat memahami keadaan saya. Anak kami, El-Rizqy sudah pun berusia berusia 9 bulan tetapi hingga kini saya masih tidak berpeluang mendukungnya.
"Sesekali memang berasa terkilan. Kadang-kadang, sedang saya bersiap hendak ke kerja dan anak menangis, rasa tertekan juga kerana tidak mampu mendukungnya. Namun, saya yakin, saya akan pulih," katanya.
Kes 2:
MELIHAT kepayahan Soo Mai Wah, 36, berjalan dan keadaannya yang sedang mengandung lima bulan anak kedua, hati tertanya-tanya bagaimanakah keadaannya jika kandungannya semakin sarat?
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah juga dengan Mai Wah, perit atau tidak, dia perlu kuat mengharungi keadaan dihadapi kini dan tidak perlu terus menangisi, sebaliknya perlu menjaga kesihatan dengan baik supaya apabila genap tempohnya, dia selamat bersalin dan melahirkan anak comel.
Bekas jurujual itu berkata, ini adalah pengalaman keduanya hamil dalam keadaan seperti itu. Katanya, walaupun kehamilan kedua itu tidak dirancang, dia tetap menerimanya dan berharap segala-galanya berjalan lancar.
Mai Wah mula diserang strok ketika mengandungkan anak pertama, Neow Jian Jiong, 1 tahun. Gaya hidup yang tidak sihat, termasuk tekanan kerja, waktu tidur tidak menentu, penat bekerja dan kerap balik lewat dipercayai antara punca diserang strok.
"Ketika pertama kali diserang strok, saya mendapati diri hamil. Memang saya takut sangat berdepan dengan keadaan itu. Tetapi sebelum mengandungkan Jian Jiong, saya kerap tidak boleh tidur dan asyik fikirkan hal kerja. Pendapatan sebagai promoter tidak banyak tetapi saya perlu kerja kuat untuk dapat duit lebih.
"Setiap hari, saya keluar jam 6 pagi dan balik ke rumah hanya selepas jam 10 malam. Pada waktu malam pula, sukar hendak tidur mungkin sebab terlalu penat dan tertekan. Akhirnya, saya diserang strok separuh badan di sebelah kiri dan pada masa, didapati mengandung," cerita Mai Wah yang terpaksa berhenti kerja apabila diserang strok.
Katanya, sepanjang kehamilan anak pertama tiada banyak masalah dihadapi cuma sukar bernafas disebabkan berat badan yang semakin bertambah selain tidak boleh berjalan selama setahun.
Keadaan itu juga menyebabkannya terpaksa bersalin secara pembedahan. Selepas berpantang, beliau menjalani terapi dan mampu berjalan semula.
Beliau kemudian disahkan hamil. Berita itu membimbangkan Mai Wah dan suami, anak sedia ada juga tidak mampu dijaga dengan sempurna, bagaimana pula jika ada anak kedua. Namun, kehamilan diteruskan selepas menerima nasihat doktor.
Mai Wah berharap, beliau akan kembali sihat selepas bersalin nanti dan dapat memberi perhatian sebaiknya kepada dua cahaya mata.
Kes 3:
PENYAKIT kencing manis yang dihidapi Rozita Man, 39, sejak melahirkan anak pertama, ternyata membawa ujian berpanjangan dalam diari kehidupannya. Ibu kepada empat cahaya mata itu reda dengan ketentuan Allah apabila kini diuji dengan ujian lain apabila diserang strok pada April 2010.
Bagaimanapun, Rozita tidak menafikan ada ketikanya perasaan sedih menyelubungi diri, terutama apabila mengenangkan suami dan anak yang berusia 11 tahun hingga 17 tahun turut berkongsi kepayahan dilaluinya.
"Saya tidak berapa ingat apa yang sebenarnya berlaku. Cuma saya ingat suatu hari, tiba-tiba saya pengsan di rumah dan sedar-sedar, saya sudah pun berada di hospital. Saya kemudian diberitahu mendapat serangan strok yang membuatkan bahagian sebelah kanan lumpuh. Saya tahu, risiko penyakit diabetes yang dihidapi tetapi tidak pernah terfikir suatu hari saya akan mengalami nasib seperti ini," katanya dengan wajah tenang.
Rozita yang bekerja di kedai optometri terlantar sebulan di hospital selepas kejadian itu dan kemudian diberikan cuti sakit selama setahun. Sepanjang tempoh itu dan sehingga ke hari ini, Rozita masih berusaha untuk memulihkan keadaan dirinya.
"Mula-mula dulu, hendak berjalan bahagian belah kanan sakit sangat tetapi kini agak berkurangan. Kalau berjalan, saya perlu pegang seseorang takut jatuh dan sebab itulah ketika di rumah atau keluar, sentiasa dipastikan ditemani anak atau suami.
"Separuh daripada kehidupan saya kini amat memerlukan pertolongan orang tetapi kini saya sudah boleh buat kerja rumah yang ringan," katanya menceritakan keadaan dulu dan kemajuan dirinya kini.
Rozita memberitahu, selain menjalani rawatan terapi di hospital dan mengambil ubat-ubatan, rawatan mengurut seminggu dua kali juga dilakukan bagi mengurangkan kesakitan..
Katanya, walaupun dilanda ujian seperti itu ada hikmah tersirat yang amat dihargainya. Antaranya, Rozita melihat pengorbanan dan kasih sayang suami dan anak yang tidak sedikit pun luntur terhadapnya, malah membuatkan hubungan mereka sekeluarga semakin erat.
"Suami dan anak-anak tidak pernah melihat serta menganggap saya membebankan mereka. Malah, mereka tidak pernah mengenepi dan sanggup bersusah payah kerana saya. Contohnya, ketika perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia dulu, mereka tidak membiarkan saya berseorangan diri di rumah, sebaliknya turut membawa saya bersama ke stadium walaupun ia menyukarkan mereka," katanya yang berharap supaya cepat sembuh.
SENARIO serangan penyakit strok hari ini semakin membimbangkan apabila didapati semakin ramai golongan muda yang diserang penyakit itu. Jika dulu, strok dianggap sebagai penyakit orang tua kerana risikonya meningkat dengan pertambahan usia, keadaan kini berbeza. Golongan muda tidak terkecuali, malah menyerang mereka seawal usia belasan tahun.
Perangkaan menunjukkan 15 peratus daripada 480 kes serangan strok terdiri membabitkan golongan muda di bawah usia 50 tahun. Lebih membimbangkan, dalam satu kajian perbandingan dengan penduduk Australia, didapati lebih ramai penduduk Malaysia diserang strok pada usia lebih muda iaitu 25 peratus berbanding hanya 12 peratus untuk penduduk negara berkenaan.
Strok atau angin ahmar turut dikenal pasti punca ketiga paling lazim kematian dan penyebab utama ketidakupayaan di negara kita. Bagi setiap 100,000 penduduk, kadar serangan strok ialah 200 kes dengan jumlah kematian antara 100 kes dan 200 kes.
Pakar Perubatan Pemulihan Neuro Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Lydia Abdul Latif, berkata strok menyebabkan mangsanya lemah dan lumpuh sama ada sebelah badan atau keseluruhannya serta boleh menjadi penyebab kepada kematian.
Dr Lydia berkata, statistik menunjukkan pengidap penyakit strok di Malaysia, lelaki adalah lebih ramai berbanding wanita. Antara risiko tinggi dan lazim yang menyebabkan lelaki diserang strok ialah tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan menghisap rokok.
"Wanita dilihat lebih berhati-hati dan ambil berat dalam penjagaan kesihatan berbanding lelaki. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita boleh berasa lega kerana strok boleh berlaku disebabkan beberapa faktor yang mungkin tidak dijangka.
"Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini didapati seolah-olah ada aliran menunjukkan ada peningkatan serangan strok di kalangan wanita muda berusia bawah 50 tahun," katanya.
Katanya, antara punca utama kebanyakan wanita diserang strok ialah saluran darah tersumbat, berkaitan masalah jantung dan salur darah pecah manakala dalam sesetengah kes tidak diketahui punca sebenarnya.
Dr Lydia berkata, gangguan aliran darah berlaku apabila salur darah tersumbat atau pendarahan di otak akibat salur darah pecah. Sama seperti bahagian tubuh yang lain, otak harus menerima bekalan berterusan melalui pembuluh darah dan arteri. Jika satu daripada arteri tersumbat, bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen dan `makanan' otak, yang biasanya dibawa bersama di dalam darah.
"Apabila pembuluh darah di otak pecah, darah akan mengalir dalam tekanan yang amat rendah hingga merosakkan bahagian saraf yang seharusnya menerima oksigen secukupnya. Begitu juga halangan arteri di dalam otak boleh juga berpunca daripada beberapa penyakit pembuluh itu sendiri yang akan menyebabkan pembuluh tersumbat.
"Darah yang membeku boleh menjadi punca ia tersekat dan ini dipanggil cerebral embolisme manakala thrombosis atau pembekuan darah berlaku apabila arteri disekat oleh lemak yang melekat di dinding arteri," jelasnya.
Dr Lydia berkata, cabaran pesakit strok muda adalah lebih tinggi berbanding pesakit yang sudah berusia terutama dari segi kualiti kehidupan.
Bagi pesakit strok yang sudah berusia, cabarannya adalah lebih untuk menyelamatkan nyawa tetapi pesakit strok muda, mendapatkan rawatan pemulihan dan perubatan.
"Apabila seseorang diserang strok, seluruh aspek kehidupan akan berubah kerana kehilangan keupayaan. Bagi yang muda, tentu akan lebih dirasai misalnya, jika masih belajar, pelajaran akan terganggu dan yang berkerjaya boleh menjejas kerjanya. Begitu juga wanita yang sudah berkahwin, peranan sebagai isteri dan ibu tidak mungkin boleh dipenuhi dengan sempurna," katanya.
Berbincang lanjut serangan stok yang dialami wanita, Dr Lydia berkata, kes serangan strok selepas bersalin amat jarang sekali berlaku. Namun, tidak dinafikan apabila wanita itu hamil, fisiologi berubah dan memudahkan darah dalam tubuh menjadi pekat dan bergumpal sehingga menyebabkan saluran tersumbat.
Selain itu, jelasnya, punca lain serangan strok selepas bersalin dipengaruhi faktor genetik.
Mengenai wanita strok yang hamil, katanya, ia tidak memberikan masalah pada wanita dan kandungan. Namun, menasihatkan wanita terbabit mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu jika merancang untuk hamil. "Sepanjang kehamilan, wanita itu perlu mengambil ubat-ubatan tertentu. Jika berlaku sebarang komplikasi ketika hamil, dalam perubatan lazimnya keselamatan ibu lebih diutamakan berbanding janin yang dikandungnya.
"Satu lagi yang menjadi kebimbangan ialah ketika hendak bersalin kerana biasanya wanita terbabit tiada keupayaan melahirkan anak secara normal. Proses meneran, boleh memberikan masalah kepadanya yang mengalami masalah lumpuh," katanya.
Dr Lydia berkata, pemulihan awal teramat penting. Setiap mangsa strok mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin tetapi untuk pulih lazimnya, bergantung jenis strok dialami dan juga rawatan terapi yang diikutinya.
Lebih cepat terapi pemulihan dimulakan, lebih cepat otak dapat mempelajari semula pergerakan normal. Lebih lama terapi pemulihan ditangguhkan, lebih sukar bagi mangsa strok untuk pulih. Begitu juga kadar penyembuhan, ada yang boleh sembuh sehingga 90 peratus dan perlu diingat penyembuhan untuk pesakit strok adalah proses berterusan sepanjang hayat.
"Matlamat pemulihan adalah untuk memperbaiki fungsi dan mendapat sebanyak mungkin kemandirian yang boleh. Seperti juga setiap strok memberi kesan yang berbeza kepada seseorang, jenis pemulihan yang diperlukan juga berbeza antara individu. Pemulihan merangkumi pelbagai aspek, termasuk terapi pertuturan, fizikal, cara kerja dan rekreasi serta aktiviti berkumpulan.
"Pakar akan membantu mangsa strok bercakap semula, berjalan semula dan mendapatkan kembali kemahiran lain yang dimiliki sebelum mengalami strok. Mereka juga membantu mangsa strok mempelajari cara baru berbuat sesuatu untuk mengimbangi kemahiran yang hilang," katanya.
Tambahnya, kini wujud pelbagai kaedah rawatan pemulihan neuro seperti "Non Invasive Brain Stimulation" dan "Robotic Therapy" yang bersandarkan kepada konsep 'Neuroplasticity' iaitu keupayaan otak "menyusun semula" untuk menyesuaikan fungsi bahagian otak yang tercedera.
INFO: Tanda amaran awal strok
Penglihatan sebelah atau kedua-dua mata menjadi kabur secara tiba-tiba.
Kebas, lemah atau lumpuh pada muka, tangan atau kaki. Boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah badan.
Pertuturan menjadi sukar dan susah memahami percakapan orang lain.
Pening, hilang keseimbangan dan koordinasi.
Sukar berjalan atau jatuh tanpa sebab.
Sakit kepala (biasanya sangat teruk dan secara mendadak) tanpa sebab.
Berlaku perubahan jenis sakit kepala yang tidak dapat dikenal pasti.
Kerosakan akibat strok:
Kehilangan deria rasa dan kekuatan.
Gangguan kemampuan membaca dan melihat.
Hilang upaya fizikal, terutama muka dan tangan.
Gangguan pada pertuturan.
Susah menelan makanan.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan