02 di sik - Google Blog Search |
Diari Maya Ghazali Lateh: Kenangan <b>di Sik</b>, Kedah Posted: 03 Aug 2011 05:41 AM PDT Saya masih teringat pada tahun 1984 ketika saya mula-mula bertugas sebagai seorang guru di pedalaman negeri Kedah iaitu di Sik. Saya tinggal bersama-sama beberapa orang guru bujang. Ada juga beberapa orang rakan bujang yang bekerja dalam sektor lain. Kami menumpang makan di sebuah rumah yang terletak di berhampiran sekolah. Mak Lang Nab, begitulah nama wanita yang kami tumpang. Kalau bukan bulan puasa kami makan tengah hari dan makan malam di rumah Mak Lang Nab. Selain untuk makan, rumah Mak Lang Nab juga menjadi tempat kami berbual-bual dan menonton televisyen. Ketika itu ada lebih kurang sepuluh orang bujang yang makan di situ. Masakan Mak Lang Nab pula tidak kurang hebatnya, sama seperti masakan ibu sendiri. Semasa bulan puasa, kami akan datang untuk berbuka puasa dan bersahur. Kadang-kadang kami bertarawih di situ kerana masjid agak jauh. Waktu sahur pula, kami akan berjalan beramai-ramai pada pukul empat lebih menuju ke rumah Mak Lang Nab. Itulah rutin kami sepanjang bulan puasa. Kami menghabiskan masa dalam setengah jam untuk bersahur sambil berborak. Maklumlah orang bujang. Selepas sahur kami akan berjalan balik ke rumah. Suasana hening pagi biasa dipenuhi dengan suara kami kerana keadaan pekan Sik waktu itu sangat sunyi. Suatu pagi, seperti biasa kami berjalan ke rumah Mak Lang Nab. Sesampai sahaja kami ke rumah kecil itu, keadaannya gelap. Tidak ada tanda-tanda hidangan makanan sudah disediakan. Biasanya pintu rumah kayu separuh konkrit itu telah terbuka sebaik sahaja kami tiba. Azizah yang kami panggil Dik Jah itu anak gadis Mak Lang Nab yang akan melayan kami makan. Akan tetapi ketika itu pintu terkunci kemas. Kami mula berpandangan dalam kegelapan pagi. Kami memberi salam. Diam juga. Ada rakan yang mengetuk pintu rumah Mak Lang Nab beberapa kali, tetapi tidak ada jawaban yang didengari. Setelah lima belas minit, keadaannya masih sama. Rakan saya Cikgu Johari yang agak nakal antara kami mengutip batu di tepi jalan. Dia membaling batu ke atas bumbung rumah. Bunyi dentuman batu di atas bumbung zing memang jelas dan kuat. Namun keadaannya tidak apa-apa. Masing-masing mula cemas. Detik waktu kian berlalu. Sebentar lagi waktu imsak akan tiba. Kalau Mak Lang Nab tidak bangun juga, kami akan berpuasa tanpa bersahur. Begitupun, kami tetap setia mencangkung di tepi jalan di depan rumah Mak Lang Nab dengan harapan Mak Lang Nab akan bangun dan memasak untuk kami. Akhirnya, setelah lebih setengah jam berusaha untuk membangunkan Mak Lang Nab, kami gagal. Menjelang pukul 5.30 pagi, kami pun beransur pulang beramai-ramai. Ada yang ketawa dan ada yang merungut kerana tidak pernah tidak bersahur sebelum ini. Paling tidak pun minum air milo sudah memadai. Peristiwa itu bercampur menjadi peristiwa lucu dan sedih. Ada pula yang tertanya-tanya tentang perkara yang terjadi terhadap Mak Lang Nab. Selama ini dia tidak pernah lewat menyediakan juadah untuk kami memandangkan itulah sumber rezekinya semenjak menjadi janda kematian suami. Kami membayar secara bulanan kepada Mak Lang Nab. Agak lumayan juga kerana waktu itu ramai kakitangan kerajaan bujang yang makan di rumah Mak Lang Nab. Begitulah nasib orang bujang di perantauan ketika bulan puasa. Seharian itu kami berpuasa tanpa bersahur. Besoknya, ketika kami datang berbuka, Mak Lang Nab sangat-sangat rasa bersalah. Dia memohon maaf. Dia terlalu penat kerana pulang menziarahi kematian bersama-sama anaknya di Sungai Patani. Oleh sebab itu dia langsung tidak sedar akan kedatangan kami walaupun makanan sahur telah dimasak sebelum dia tertidur pagi itu. Kami juga tidak mengambil hati. Mak Lang Nab telah kami anggap sebagai ibu angkat kami di Sik. Lebih menarik lagi, Cikgu Johari akhirnya menjadi menantu Mak Lang Nab dan hidup bahagia hingga sekarang. Sekarang saya sudah berpindah ke Selangot setelah empat tahun bertugas di Sik. Setiap kali bulan puasa muncul, kenangan itu tetap kembali segar dalam ingatan. Setiap kali berkesempatan pulang, saya akan ke Sik, walaupun pekan kecil itu sudah banyak berubah. Malah Sik juga banyak menjadi latar dalam karya-karya penulisan saya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from di sik - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan