Sabtu, 16 Mac 2013

02 di kodiang - Google Blog Search

02 di kodiang - Google Blog Search


NOBISHA: 01 YB <b>KODIANG</b> : KABUS <b>DI</b> BUKIT KEPLU

Posted: 23 Dec 2012 03:30 PM PST

Satira "YB Kodiang" adalah merupakan siri mengenai politik, tikus & politikus. Insya-Allah, ia akan disiarkan secara bersiri di blog ini. Tulisan ini tidak ditujukan kepada sesiapa. Namun, siapa yang makan cili, dialah terasa pedasnya. Bukankah begitu? :) 



"Assalamualaikum, YB!"
"Assalamualaikuuuummmm, YB!"
Man Buah bagi salam kali kedua. Kali ini, ada respon.
"Waalaikummussalaaaaam ... Ooo Man, mai masuk," jawab seorang wanita sambil membuka pintu rumah. Dia masih berbaju kelawaq. Belum sempat mandi, dah ada orang berikan salam.
"YB ada di rumah, Kak Pah?" tanya Man Buah.
Ini bukan kali pertama Man Buah datang ke rumah YB awal pagi. Dah seluloi macam tu. Kak Pah, isteri YB, faham sangat.
Apabila Man Buah yang menjadi orang kanan YB mai rumah awal pagi, mesti ada sebab. Kalau tak kemalangan, ada kematian. Kalau tak banjir, mungkin kebakaran.
Man Buah mesti datang untuk maklumkan kepada YB awal-awal. Kalau sempat, YB akan melawat. Kalau tak sempat, YB akan berikan sumbangan melalui Man Buah untuk disampaikan kepada mangsa atau keluarga mereka.
Kak Pah tahu sangat, YB akan marah kepada Man Buah kalau dia tak dimaklumkan perkembangan dalam kawasan. Kalau YB marah, memang tak tahan mendengarnya.
"Hawat, ada apa Man?" tanya Kak Pah sebaik saja Man Buah masuk ke dalam rumah.
"YB mana Kak Pah? Ada berita penting saya nak habaq kat YB!" ujar Man Buah tercungap-cungap. Dia mundar-mandir.
"Ada orang mati ka?" tanya Kak Pah kebimbangan.
"Bukan, bukan!" balas Man Buah.
"Orang eksiden?" tanya Kak Pah.
"Dah aih." balas Man Buah.
"Habis tu?" tanya Kak Pah.
"Habis tu apa? Ini pasai masa depan YB!" balas Man Buah.
Dia tak puas hati Kak Pah banyak bersoal jawab, "Pi panggil YB, Man nak bercakap dengan dia."
"YB dok tidoq lagi," kata Kak Pah.
Man Buah tak puas hati, "Kak Pah pi gerak dia. Habaq kata Man nak bercakap dengan dia."
Man Buah renung Kak Pah. Dia cuba tahan kemarahan. Nak hilang sabar.
"Habaq kat YB, Man nak bercakap la ni jugak!" kata Man Buah.
"Habaq la kat Kak Pah. Sat lagi Kak Pah gerak YB dan habaq kat dia," kata Kak Pah.
"Kak Pah, saya nak bercakap dengan YB, bukan dengan Kak Pah!" Man Buah meninggikan suara. Orang perempuan kalau kena tinggi suara, kecut sikit.
Dia tak faham mengapakah pagi ni Kak Pah susah sangat nak gerak YB bangkit tidur. Selalu taklah macam ini. Tak tahu kenapa, pagi ni Kak Pah nak jadi gate-keeper pula.
Gate-keeper tu satu hal. Apabila ada hal penting macam ni, Kak Pah tanya macam-macam soalan. Tahanan lokap polis pun tak kena soal macam-macam.
"Baiklah Man. Kalau YB marah, jawab sendiri, jangan kata Kak Pah tak habaq noo," balas Kak Pah sambil mencebik muka.
Man Buah tahu Kak Pah tak puas hati kerana tak beritahu dia dulu. 
Dia merungut dalam hati, "Kalau dah isteri, buatlah macam isteri. Jangan dok nak berlagak macam dia tu YB."
Man Buah dah lama dalam politik. Dia kenal ramai politikus dan isteri-isteri mereka. Sebahagian besar isteri, bagus-bagus belaka. Cuma Man Buah tahu ada beberapa orang isteri yang lebih sudu dari mangkuk.
Politikus bagus, tetapi isteri yang banyak buat onar. Akhirnya, politikus yang kena jawab dengan orang kampung.
Baru Man Buah nak duduk atas sofa, tiba-tiba YB jengoi di pintu ruang tamu sambil membetulkan kain pelikat.
"Ada apa Man hang mai pagi-pagi ni? Siapa mati?" tanya YB sambil tenyeh mata yang baru separuh terbuka.
Balas Man Buah, "YB, ini bukan orang mati, tetapi YB sendiri yang akan mati."
"Hang cakap elok-elok sikit Man, aku tonyoh mulut hang sat lagi," marah YB. "Cuba hang cakap betui-betui apa cerita ni?"
"Malam tadi, Man duduk sembang dengan ahli-ahli jawatankuasa parti. Depa kata depa tak puas hati dengan YB. Depa kata YB dah lama jadi wakil rakyat, dah tak faham jiwa pengundi muda," kata Man Buah.
"Hang merepeklah Man," balas YB. Dia dah jadi wakil rakyat lima penggal. Takkanlah nak sambung satu penggal lagi sebagai penggal terakhir pun jadi isu besar.
Dia bukan tak ada jasa. Dia bukan tak ada bakti. Semua orang kawasan kenal dia. Kalau kenduri, dia masuk sampai gedohoq. Kalau pi rumah orang, YB masuk makan nasi di dapur. Duduk pelenggaq rumah pengundi, biasalah.
"Betui YB, saya dengar sendiri. Depa sembang di kedai pasembor Pak Hussein. Depa kata kali ni depa nak calon baru. Depa tak mahu dah YB," beritahu Man Buah.
Tanya YB, "Pasai apa depa tak mahu aku?"
Balas Man Buah, "Depa kata nak muka baru. Ada ijazah tinggi, pandai bercakap dan ada karisma. YB hanya sesuai untuk tahun 70an, sekarang dah tak relevan lagi. YB eloklah pencen."
Tanya YB, "Depa kata apa lagi?"
Jawab Man Buah, "Depa kata kalau YB tak nak berundur, mereka semua nak letak jawatan dan masuk parti sebelah sana!"
"Minggu depan depa nak buat sidang akhbar. Nak panggil semua surat khabar dan tv," kata Man Buah.
Ketika itu YB merasakan masa depannya kabur, seolah-olah diliputi kabus di Bukit Keplu.
Bersambung di siri kedua satira "YB Kodiang" :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan