Kata orang, gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Lama tak dengar pantun dua kerat ni. Kali terakhir dengar tak silap saya masa sekolah rendah dulu.
Ok, sambung daripada entri sebelum ni. Lepas makan nasi ayam + cendol + ABC kat kedai Tat Nasi Ayam, Sungai Petani, kami terus ke Lembah Bujang untuk tengok dengan mata sendiri tempat bersejarah ni. Secara jujurnya masa belajar subjek Sejarah Tingkatan 5 dulu langsung tak minat dengan sejarah ni. Selalu tidur dalam kelas hehe. Tidur tidur pun SPM dapat B jugak
Tak rancang pun sebenarnya nak ke Lembah Bujang. Hasil bertanya di Facebook ramai kawan yang cadangkan ke Lembah Bujang selain daripada ke Pantai Merdeka di Tanjung Dawai. Kebetulan sebelum nak sampai Tanjung Dawai kena lalu Lembah Bujang dulu. Alang-alang dah sampai kat tempat bersejarah ni rugi besar kalau tak singgah.
Gambar kat atas ni katanya Tapak Kesan Sejarah Bukit Batu Pahat. Macam kawasan air terjun tapi tak ada air kat atas ni masa pergi hari tu. Kering agaknya.
Serpihan-serpihan perahu yang dipamerkan dalam gambar di atas adalah sisa-sisa Perahu Sagor yang ditemui dalam kerja-kerja penggalian arkeologi di beberapa penempatan di sepanjang Sungai Muda yang menjadi laluan utama membawa barang dagangan sejak kurun ke-3 Masihi.
Penemuan ini menunjukkan Perahu Sagor merupakan pengangkutan utama yang digunakan oleh masyarakat tempatan bagi membawa bahan komoditi untuk dipasarkan di pelabuhan Lembah Bujang yang bertempat di Kuala Sungai Merbok. Ianya merupakan sebuah perahu tradisi masyarakat Melayu Kedah yang diperbuat daripada sebatang kayu balak yang ditebuk.
Artifak ini digunakan untuk mengisar beras untuk dijadikan tepung yang diperbuat daripada batu granit. Pengisar ini telah digunakan oleh penduduk setempat di Lembah Bujang pada sekitar kurun ke-19 Masihi.
Menuju ke Candi Pendiat. Kena naik tangga yang lebarnya lebih daripada 10 inci.
Inilah Candi Pendiat. Asal tapak ini telah ditemui di Kampung Pendiat, Merbok iaitu di sebelah timur Sungai Bujang. Tinggalan struktur candi yang telah dibina dibina sekitar kurun ke 11 Masihi ini telah ditemui oleh Quaritch Wales pada tahun 1940.
Candi ini berunsur Hindu dengan Vimana dan Mandapa sebagai struktur utamanya. Walau bagaimanapun Vimana dan Mandapa candi ini terpisah antara satu sama lain.
Naik tangga lagi menuju ke Candi Bukit Batu Pahat. Fuh, letih naik tangga ni. Berpeluh jugak. Tapi tak seletih naik tangga Batu Caves masa outing photoshoot dengan fotografer Noorizam Sabran dulu.
Inilah dia Candi Bukit Batu Pahat. Lebih besar dan luas daripada candi yang lain.
Candi Bukit Batu Pahat merupakan induk kepada candi-candi lain di Lembah Bujang. Candi ini merupakan salah satu tapak yang telah ditemui oleh Quaritch Wales semasa beliau melakukan survey arkeologi di Lembah Bujang pada tahun 1936-1937.
Kalau perasan kebanyakan candi ada lubang ni. Lubang ini sebenarnya lubang untuk memacak tiang candi. Tapi semua tiang candi kat Muzium Arkeologi Lembah Bujang ni dah dicabut. Mungkin sebab tak tahan dah kot nak tahan bumbung canding.
Penyelidikan arkeologi tapak ini telah disambung oleh Alastair Lamb pada tahun 1959 hingga tahun 1960. Runtuhan candi ini telah dibina semula di tempat asalnya pada tahun 1960.
Ada beberapa keping duit syiling kat adlam lubang ni. Tak dapat dipastikan apa fungsi lubang ni. Duit syiling tu pulak mungkin ada pengunjung yang datang untuk 'buang hajat'.
Asalnya tapak ini di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok yang terletak di tebing sebelah timur Sungai Bujang. Candi ini ditemui berkembar dengan tapak 22 Candi Pengkalan Bujang oleh Quaritch Wales pada tahun 1936.
Asal tapak ini ditemui di Kampung Bendang Dalam, Merbok iaitu sebelah barat Sungai Bujang. Candi ini telah ditemui pada tahun 1960-an. Candi tapak 50 adalah berunsur Hindu dengan struktur utamanya adalah Vimana – Mandapa. Bahan asas binaan candi ini adalah batu lada (batuan laterite) dan kedua-dua bahagian ini dibina di atas permukaan tanah tanpa sebarang asas.
Saya tak pasti ada lagi atau tak candi yang saya tak sempat nak shoot hari tu. Rasanya dah cover semua dah. Kalau ada yang tertinggal tu saya minta maaf banyak-banyak.
Berkenaan dengan sejarah candi ni tak dapat saya nak jelaskan. Maklumlah, datang sini tanpa persediaan cukup. Sepatutnya sebelum datang saya selak semula buku Sejarah Tingkatan 5, barulah syok nak melawat tempat sejarah. Datang tempat sejarah tanpa ilmu dan pengetahuan seolah-olah masuk kedai makan tapi tak nak order makanan sebab tak lapar hehe.
Oh ye, nak masuk Muzium Arkeologi Lembah Bujang ni tak dikenakan sebarang bayaran. Saya masuk hari tu gamble je. Pusing seluruh kawasan sorang-sorang tanpa guide.
Lokasi Muzium Arkeologi Lembah Bujang ni tak susah nak cari. Terletak di Kampung Merbok menghala ke Tanjung Dawai. Tak berapa jauh dari UiTM Merbok. Dari Sungai Petani lagi dah ada signboard menghala ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang ni.
Lepas penat berpeluh pusing muzium arkeologi ni kami terus ke Pantai Merdeka pula. Nama pantai ni pernah tersemat dalam sebuah lagu sekitar lewat tahun 1990-an dulu. InsyaAllah saya akan sambung dalam entri akan datang.
Sumber: Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan