02 di sungai petani - Google Blog Search |
Seorang Maut, Dua Cedera Maahad Tahfiz Terbakar <b>Di Sungai Petani</b> Posted: 15 Jun 2013 09:42 AM PDT Rumah dua tingkat yang diubah suai dan dijadikan asrama pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab) di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini, hangus terbakar dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 2 pagi Sabtu. -fotoBERNAMA SUNGAI PETANI: Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, maut manakala dua rakannya cedera dalam satu kebakaran di asrama Maahad berkenaan, awal hari Sabtu. Mangsa yang maut ialah Aiman Nurhakim Yahya, 13, yang merupakan penuntut tahun satu yang memulakan pengajian awal tahun ini. Mangsa yang cedera ringan ialah Meor Amirul Meor Mohd Ghazali, 16, dan Mohamad Muaz Halim, 14. Seorang pelajar yang terselamat, Mohammad Iszuddin Mohd Iszam, 14, berkata sewaktu kejadian pukul 2 pagi itu, dia sedang tidur bersama rakan-rakannya sebelum dikejutkan seorang rakannya yang menyedari api mulai marak. "Bila terjaga, saya terus kejutkan empat lagi rakan yang tidur di tingkat atas termasuk Aiman yang tidur di bahagian hujung bilik. Semua rakan yang lain sudah bangun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. "Kami sangka Aiman juga sudah keluar rupa-rupanya dia masih berada di dalam. Api marak dengan dengan cepat kerana bahagian atas rumah adalah papan, kami tidak sempat nak lakukan apa-apa untuk membantu Aiman," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian, Sabtu. Sementara itu, Pengetua (Mudir) Mantab Zamri Arshad berkata Mantab beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, dan jumlah pelajar yang masih menuntut ialah seramai 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun. "Sebelum ini mereka tinggal di bangunan yang sama dengan bangunan pejabat dan kelas, namun dipindahkan ke sebuah rumah yang dibeli di kawasan berhampiran pada awal tahun ini kerana bilangan pelajar hampir 40 orang. "Memandangkan pelajar kini 20 orang, kami bercadang untuk memindahkan mereka kembali ke bangunan asal dalam minggu ini. Dengan kejadian yang meragut nyawa salah seorang pelajar di sini, pelajar diberi cuti dan waris mereka akan dimaklumkan untuk membawa anak-anak pulang sementara urusan penginapan baharu diselesaikan," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Penaung Mantab, Anuar Md Isa, yang juga imam masjid Kampung Masjid berkata rumahnya terletak tidak jauh daripada asrama itu dan dia yang terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising, tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. "Sebelum pelajar-pelajar ditempatkan di asrama berkenaan, beberapa pengubahsuaian sudah dilakukan termasuklah memasang sistem pendawaian elektrik yang baharu. Namun, saya difahamkan punca kebakaran dipercayai disebabkan berlakunya litar pintas. "Kita berasa sedih dengan peristiwa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamri di talian 012-5661613 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Al-Barakah 07043011030975. Dalam pada itu, jenazah Aiman Nurhakim yang dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, dijangka dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk dikebumikan. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from di sungai petani - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan