Khamis, 3 Mac 2011

Edisi Nasional

Edisi Nasional


Utusan Online - Keluarga

Posted: 03 Mar 2011 01:14 PM PST

Utusan Online - Keluarga


Hayati konsep sains dan inovasi Islam

Posted:

Hayati konsep sains dan inovasi Islam

Hayati konsep sains dan inovasi Islam

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


LEBIH 40 artifak yang dipamerkan sepanjang berlangsungnya Pameran Al-'Ilm: Sains dan Inovasi dalam Dunia Islam di MKIM.


UMAT Islam sudah lama mendahului zaman. Ketika bangsa-bangsa Eropah masih berada dalam kegelapan, Islam telah melangkah ke hadapan dengan pelbagai penemuan dalam bidang sains dan teknologi.

Malahan, hasil penemuan dan kajian ilmuwan Islam kekal dikaji dan dikagumi serta menjadi perintis kepada penghasilan teknologi yang kita gunakan hari ini.

Sekitar abad kelapan hingga abad ke-13 bukan sahaja merupakan zaman kegemilangan tamadun Islam. Ketika itu juga merupakan zaman di mana bercambahnya idea-idea baru yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Ketika itulah munculnya barisan ilmuwan hebat seperti Ibnu Sina, al-Biruni, al-Khawarizmi, al-Idrissi, al-Kindi, al-Razi, Ibnu Khaldun, Ibnu al-Haitham, al-Farabi, al-Ghazali dan beratus-ratus tokoh yang menyumbang idea dan tenaga kepada dunia sains dan teknologi.

Al-Biruni, contohnya seorang yang pakar dalam bidang astronomi, matematik, fizik, perubatan, geologi dan sejarah. Malah beliau juga menguasai banyak bahasa seperti bahasa Yunani, Hebrew dan Sanskrit.

Malah, Al-Biruni adalah orang pertama yang menerangkan fenomena gerhana dan yang pertama mengetahui bahawa bunga mempunyai tiga, empat, lima, enam dan 18 kelopak, bukannya tujuh atau sembilan kelopak.

Tidak ketinggalan juga Ibnu Sina yang menulis buku al-Qanun fit Tibb (Peraturan Perubatan) yang meninggalkan kesan yang besar kepada dunia perubatan Eropah masa kini dan dunia amnya.

Ibnu Sina merupakan doktor perubatan pertama pada zamannya yang mencatatkan penyakit paru-paru adalah suatu penyakit berjangkit. Beliau turut mencatatkan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul daripadanya.

Ibnu Sina juga amat berminat dengan kajian kesan akal ke atas jasad dan banyak menulis mengenai gangguan psikologi.

Perlu difahami bahawa tokoh-tokoh ilmuwan ini berjaya bukan semata-mata keilmuan di dada tetapi turut disokong dengan daya kreativiti dan keberanian mereka berinovasi.

Apatah lagi tunjang usaha dan kerja mereka bukan bermatlamat memperoleh pujian, anugerah atau habuan wang ringgit. Sebaliknya, bagi membantu menyelesaikan masalah umat Islam pada waktu itu.

Misalnya, penerokaan dalam bidang astronomi adalah untuk membantu umat Islam dalam soal ibadat solat dan puasa. Pada masa yang sama, bidang astronomi juga sangat penting untuk aktiviti pertanian ketika itu.

Hakikatnya, kemahuan untuk berkreativiti dan berinovasi di kalangan ilmuwan terdahulu itu didorong oleh keinginan dan keperluan untuk mengkaji al-Quran dan hadis.

Hasil pengkajian itulah, mereka berjaya membongkar pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu, sekali gus menunjukkan betapa aspek kreativiti dan inovasi tidak bertentangan dengan Islam.

Meskipun keperluan berkreativiti dan berinovasi tidak disebutkan secara langsung di dalam al-Quran mahupun sunnah. Hal ini boleh dilihat daripada sifat Allah SWT iaitu Maha Pencipta.

Firman Allah yang bermaksud: ...dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi yang Maha Mengetahui. (Yasin: 81)

Maka jelas di sini, saranan untuk berkreativiti dan berinovasi tidaklah bertentangan dalam kerangka pemikiran Islam. Namun, ada di kalangan umat Islam yang tidak memahami tuntutan ini.

Anggapan mereka, mengubah perkara lama yang jumud adalah satu kesilapan atau bertentangan dengan agama, apatah lagi norma masyarakat.

Justeru, pameran Al-'ilm: Sains dan Inovasi dalam Dunia Islam anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dengan kerjasama Yayasan Albukhary, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Petrosains yang berlangsung sejak 25 Februari sehingga 29 Mei ini dilihat cuba menonjolkan sains sebagai cabang ilmu yang melangkaui pandangan biasa terhadap sains sebagai terasing.

Pengurus projeknya, Zulkifli Ishak berkata, dengan pendekatan yang tersendiri, pameran itu memperlihatkan bagaimana teknologi baru yang ditemui pada zaman dahulu telah dicipta dengan serba indah dan bagaimana kedua-dua aspek ini tidak dapat dipisahkan.

Pada pameran ini, lebih 40 artifak akan dipamerkan dan diketengahkan kepada para pengunjung.

Uniknya pada pameran kali ini, ada antara artifak tersebut adalah tulen dan asli.

"Pihak MKIM cuba mewujudkan satu kelainan menerusi pameran-pameran sains Islam yang pernah wujud sebelum ini.

"Kami menekankan penciptaan dan inovasi dari wilayah-wilayah Islam yang berbeza. Dari Barat ke Timur yang melibatkan Sepanyol, Tamadun Islam Andalus, kemudian ke Timur Tengah, termasuk Turki dan Istanbul. Kemudian ke Asia Tengah, India dan berakhir di alam Melayu.

"Pameran ini berbeza sebab ia cuba mengetengahkan subjek-subjek yang berbeza seperti inovasi dalam pertanian, penciptaan pelayaran atau navigasi dunia Melayu kerana ia bukan semata-mata sains tetapi melibatkan inovasi para ilmuwan Islam," kata Zulkifli.

Katanya, idea tentang pameran itu telah muncul sejak dua tahun lepas, tetapi kajian dan penyelidikan yang lebih mendalam bermula dalam tiga atau empat bulan lepas.

Menurutnya, pameran yang dibuka kepada umum itu akan meninjau pengetahuan Islam bersandarkan pada panduan al-Quran dan hadis. Malah pengunjung berpeluang mengamati bagaimana umat Islam berjaya menghasilkan pelbagai inovasi melalui pengetahuan tersebut dan teori klasik di bawah beberapa empayar Islam yang popular dalam sejarah dunia.

Antaranya adalah ketika Empayar Abbasiyah di Iraq, Umaiyyah (Sepanyoh), Fatimiah (Mesir), Uthmaniyah (Turki) dan Mughal (India) yang menyaksikan pelbagai idea asas dalam seni bina, seni visual, perubatan dan kejuruteraan dilahirkan, sehingga dikagumi, dipelajari dan dibangunkan semula oleh saintis barat.

"Mungkin kalau kita lihat sekali lalu, pameran ini nampak atau anggap konsepnya seperti agak serius dan berat. Namun kita cuba imbangkan dengan aktiviti-aktiviti dan kerjasama yang dapat melibatkan pihak pelajar.

"Alhamudlillah, kita berkerjasama dengan Pusat Penerokaan, Petrosains yang memang terkenal dengan program capaian luar, program pendidikan interaktif kepada kanak-kanak dan kita mengadakan beberapa aktiviti bengkel, khususnya pada cuti sekolah tidak lama lagi.

"Setakat ini, kita ada tiga bengkel yang dibuka kepada pelajar berusia antara 10 hingga 15 tahun. Contohnya, Geometrik Pattern and Design, Bengkel Interaktif Sains dan ketiga di mana pihak Petrosains bersetuju untuk meminjamkan Makmal Bintang.

"Ia adalah sebuah terowong gelap yang berfungsi sebagai material pendidik untuk menerangkan tentang buruj-buruj. Ia satu peralatan interaktif yang memberi peluang kepada para pengunjung merasai pengalaman melihat bentuk-bentuk buruj di dalam terowong," kata Zulkifli.

Maklumat itu akan mula dipasang pada sambutan Hari Muzium Antarabangsa pada 18 Mei ini.

Tarikh tersebut katanya, juga sempena dengan Hari Muzium. Pada hari tersebut kehadiran para pelajar dan kemasukan ke semua muzium di Malaysia atau di seluruh dunia adalah percuma.

Menurut Zulkifli, bagi peminat ilmu yang matang, MKIM telah merencanakan sesi bual bicara berkenaan ilmu kartografi yang akan berlangsung pada bulan April ini bertempat di Auditorium MKIM.

"Ia berbentuk ceramah syarahan oleh Dr. Geogios Liakopoulos dari Universiti of Athens, Department of Turkish & Modern Asian Studies dengan tajuk syarahan beliau, An Introduction to Ottoman Chartography.

"Walaupun ia tidak bertepatan dengan dunia hari ini tetapi ia menerangkan tentang Ottoman kartografi adalah asal inovasi Islam kartografi. Contohnya Al-Idrisi ialah seorang ilmuwan Islam yang terawal membuat atau menghasilkan sebuah peta yang paling lengkap di dunia," katanya.

Pameran ini dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang mewakili Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Walaupun baru seminggu berlangsung, akui Zulkifli, pameran ini mendapat sambutan yang menggalakkan, khususnya daripada para pelancong kerana muzium ini cukup dikenali oleh masyarakat luar dan sudah tersenarai sebagai destinasi yang mesti dikunjungi.

Bagi pengunjung tempatan, majoritinya adalah para pelajar sekolah yang mengikuti rombongan, pelajar institusi pengajian tinggi, institusi agama dan sebagainya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Artifak yang dipamerkan

Posted:

Artifak yang dipamerkan

Artifak yang dipamerkan


PENGUNJUNG berada di seksyen penciptaan Alam Melayu yang merupakan bahagian wilayah terakhir dalam pameran.


SAINS dan inovasi berkembang pesat dalam beberapa zaman kegemilangan sejarah Islam. Pelbagai penemuan seperti algebra dan antiseptik dinamakan bersempena dengan nama ahli sains Islam yang menemuinya dan terus diingati dan digunakan di dalam sejarah.

Di bawah pemerintahan Abbasiyyah di Iraq, Umayyah di Sepanyol, Fatimiyyah di Mesir, Uthmaniyyah di Turki dan Mughal di India, kemajuan tidak hanya terhad dalam bidang astronomi sahaja. ia membentuk satu asas yang kukuh dalam bidang kejuruteraan, perubatan, botani, zoologi dan juga seni visual.

Sementara itu, dalam bidang seni bina misalnya, pemikiran yang inovatif telah membawa kepada penciptaan menara dan juga rekaan pintu gerbang.

Sinan, seorang arkitek Uthmaniyyah yang terulung, terus memberikan ilham kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi bangunan yang direkanya di Turki.

Dalam bidang perubatan, kemajuan dalam teori, rawatan dan peralatan pembedahan merubah keseluruhan bidang tersebut.

Nama-nama pakar perubatan Islam yang banyak menyelamatkan nyawa tidak begitu dikenali di kalangan mereka di luar bidang tersebut. namun sumbangan mereka amat penting dalam pembentukan dunia yang kita kenali pada hari ini.

Dalam bidang kesenian pula, pereka cipta Islam berjaya menguasai teknik-teknik dan motif-motif baru dalam pelbagai media.

Individu-individu yang bertanggungjawab ke atas kemajuan ini hidup di zaman sebelum kewujudan paten hak cipta. Pameran Al-'Ilm: Sains dan Inovasi Dalam Dunia Islam di Muzium Keseniian Islam Malaysia juga memperlihatkan bagaimana asam garam dan pahit getir kehidupan yang dilalui oleh ahli sains pada masa lalu.

Berikut beberapa bahan artifak daripada lebih 40 yang diketengahkan sepanjang berlangsungnya pameran ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kosmo Online - Varia

Posted: 03 Mar 2011 11:40 AM PST

Kosmo Online - Varia


Poh Yen belajar daripada kesusahan

Posted:

Poh Yen belajar daripada kesusahan

Poh Yen belajar daripada kesusahan

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


KENANGAN Poh Yen (berdiri sembilan dari kanan) bersama suami dan rombongan Avon yang berjaya memperoleh Percutian Insentif ke Switzerland pada tahun 2007.


PEMENANG Anugerah Sales Leadership Avon No. 1 Negara, Kam Poh Yen, 40, tidak pernah menyangka dia mampu untuk mengecapi kemewahan hidup seperti yang dilaluinya sekarang.

Memiliki sebuah rumah banglo, empat kenderaan mewah, suami yang penyayang dan tiga anak perempuan yang comel sudah cukup membuatkan wanita itu dilingkari kebahagiaan yang menjadi idaman kebanyakan wanita.

Namun, siapa sangka di sebalik kejayaan yang diperoleh, Poh Yen pernah menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan satu ketika dahulu. Sebagai suri rumah, dia cuma bergantung harap kepada pendapatan kecil suami yang bekerja di sebuah kilang perabot di Perlis.

Dulu hidup susah

Saat itu suaminya, Teng Yoon Peng, 43, hanya mampu memiliki sebuah motosikal Honda Cub 70 sebagai kenderaan untuk mereka sekeluarga. Apabila mahu ke mana-mana, Poh Yen akan menyumbat raga hadapan motosikal tersebut dengan lampin bayi, botol susu, baju dan sebagainya.

Kalau hujan sudah pasti mereka bertiga akan basah kuyup dan terpaksa mencari tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan.

"Kalau diingat semula peristiwa itu, memang saya boleh mengalirkan air mata. Hidup kami sekeluarga sangat susah. Malah, sewaktu berkahwin saya terpaksa menebalkan muka meminjam gaun pengantin seorang kawan kerana tidak mampu untuk membeli atau menyewa busana perkahwinan," imbau anak kelahiran Kangar, Perlis itu dalam nada sebak yang bersarang di dada.

Tambahnya, dia dan suami juga tidak berpeluang untuk merakam gambar kenangan perkahwinan di studio kerana ia memerlukan kos yang agak tinggi.

Disebabkan itu, wanita cekal tersebut bertekad melakukan sesuatu untuk mengubah taraf kehidupan mereka sekeluarga. Bisnes Avon menjadi pilihan Poh Yen lantaran percaya kualiti produk yang ditawarkan selepas menggunakan barangan tersebut.

Walaupun telah mendaftar sebagai ahli pada tahun 2003, tetapi Poh Yen hanya serius untuk menjadi pengedar empat tahun kemudian. Pada mulanya suami kurang menyokong penglibatan Poh Yen dalam jualan Avon.


Poh Yen bahagia bersama suami dan anak tercinta.


Bagaimanapun, segalanya berubah apabila dia berjaya mencapai sasaran jualan sekali gus berpeluang membawa suaminya menikmati percutian ke Switzerland menerusi dua tiket insentif yang diterima daripada Avon.

Sejak itu, perniagaan Poh Yen terus meningkat dan taraf kehidupan keluarganya juga berubah dengan sekelip mata. Pada tahun 2008, dia tidak teragak-agak untuk menyertai kategori Sales Leadership.

Dari Perlis, Poh Yen terus mengembangkan rangkaian Sales Leadership ke Kedah, Pulau Pinang, Selangor hinggalah ke Johor. Perwatakan sebagai seorang yang pemalu juga dibuang jauh-jauh.

Sebaliknya, wanita itu tampil dengan penuh semangat dan keyakinan dalam diri untuk menguruskan sesi latihan Prospect Appoint Train and Develop (PATD) untuk downlinenya sendiri.

Kini, Poh Yen mempunyai lebih 1,300 downline di mana enam daripadanya bertaraf Senior Executive Sales Leader dan tiga bergelar Executive Sales Leader.

"Saya perlu menyerlahkan sifat dan kualiti sebagai seorang pemimpin yang boleh dicontohi. Hanya dengan cara ini, downline akan lebih bersemangat dan mampu mencapai matlamat untuk berjaya," ungkap Poh Yen sambil tersenyum ke arah suami yang setia berada di sisinya.

Apa yang pasti, tegas Poh Yen, bersama Avon dia berjaya menggapai impian untuk hidup mewah dan bahagia bersama keluarga. Justeru, dia menyeru kepada wanita di luar sana agar tidak melepaskan peluang menyertai dunia perniagaan Avon.

"Hidup ini ibarat kertas putih dan kita yang bertanggungjawab mencoraknya. Berani mencuba, berwawasan, berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa merupakan antara kriteria yang perlu ada untuk berjaya," kongsi wanita itu.

Bersama Avon, Poh Yen juga pernah menikmati percutian ke Las Vegas, Amerika Syarikat dan layak menerima insentif Persada Dunia ke New Zealand pada tahun ini. Sementara itu di bawah Program Elaun Kereta Avon, beliau layak memiliki kereta impian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Johor

Posted: 03 Mar 2011 09:38 AM PST

Utusan Online - Johor


Mangsa diberi bantuan segera

Posted:

Mangsa diberi bantuan segera

Mangsa diberi bantuan segera

Oleh HAMDAN TAWADI
editjohor@utusangroup.com.my


PEGAWAI dan anggota polis berusaha membawa keluar Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dari kenderaan peronda polis yang tergelincir ke dalam parit di Sri Medan, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.


BATU PAHAT 2 Mac – Banjir yang melanda daerah ini khususnya di Sri Medan mendapat perhatian pihak media yang melaporkan pelbagai kisah penderitaan mangsa banjir dan keprihatinan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang ditimpa bencana itu.

Lebih 1,000 keluarga dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara setelah rumah mereka digenangi air.

Lebih malang, kedudukan Sri Medan yang berada di kawasan lembah turut menyukarkan air surut walaupun setelah beberapa hari tidak hujan.

Keadaan itu disifatkan oleh penduduk sebagai 'air termenung'. Seperti orang termenung yang tidak bergerak, begitu juga keadaan air banjir yang tidak surut.

Nyata keadaan itu membimbangkan penduduk setelah mengalami pengalaman ngeri menghadapi kejadian banjir besar pada penghujung 2006 dan awal 2007 yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Menurut penduduk, seperti yang berlaku pada 2006 dan 2007, banjir melanda Sri Medan setelah bencana itu melanda daerah Segamat.

Air banjir dari Segamat itu dikatakan akan mengalir dan melimpah pula ke Sri Medan.

Mereka menyifatkan keadaan itu sebagai 'banjir menunggu'. Sri Medan seolah-olah menunggu giliran menghadapi banjir setelah ia melanda Segamat.

Satu lagi cerita yang sering diperkatakan penduduk ialah beberapa hari sebelum banjir besar melanda pada 2006 dan 2007, suasana dirasakan terlalu sejuk.

Peristiwa yang sama turut dirasai oleh penduduk baru-baru ini, tambahan pula hujan melanda beberapa hari secara berterusan.

Bagaimanapun, mereka agak bertuah kali ini kerana ketika banjir melanda, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad sanggup meredah banjir demi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Setiap hari, beliau menaiki trak askar untuk melalui kawasan kampung yang dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

Walaupun bertubuh kecil, namun semangat untuk membantu mangsa banjir yang ditunjukkan oleh Noraini amat besar maknanya apabila beliau sanggup turun dari trak askar dan berjalan kaki meredah air sehingga paras pinggang, semata-mata untuk memujuk penduduk supaya berpindah segera ke pusat-pusat pemindahan.

Pada hari pertama, Noraini yang tidak bersiap sedia hanya memakai pakaian ala jubah dan berselipar telah dinasihatkan oleh petugas banjir supaya tidak meredah air kerana bimbang terpijak paku, kayu serta dipatuk ular.

Namun, beliau tidak mengendahkan larangan itu kerana lebih mengutamakan keselamatan mangsa banjir berbanding dirinya.

Beliau berusaha memujuk dan membawa seramai mungkin mangsa banjir yang berada di rumah menaiki trak askar untuk dipindahkan ke pusat pemindahan.

Semangatnya tidak luntur dan jauh sekali berkecil hati walaupun ada penduduk yang dipujuk tetap berdegil tidak mahu berpindah.

Keesokan harinya, beliau tetap setia meredah banjir untuk memujuk mereka berpindah, begitu juga hari-hari seterusnya.

Kebanyakan penduduk yang tidak mahu berpindah kerana mereka bimbang harta-benda dicuri ketika mereka berada di pusat pemindahan sementara.

Mujur tindakan pantas Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris meminta pihak media melaporkan polis berusaha sebaik mungkin melakukan rondaan di premis-premis yang ditinggalkan oleh mangsa banjir banyak membantu meredakan kebimbangan penduduk.

Malah Ibrahim memberitahu, tiada kes jenayah membabitkan kecurian dan pecah masuk di premis yang ditinggalkan oleh mangsa banjir dilaporkan kepada pihak polis hasil rondaan berterusan yang dilakukan.

Sementara itu, dalam kesibukan polis menjaga keselamatan penduduk kampung, mereka juga hanya insan biasa yang tidak terlepas daripada bahaya akibat banjir.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff nyaris lemas apabila bahagian kiri kenderaan utiliti sukan jenis Nissan X-Trail yang dinaikinya tergelincir masuk ke dalam parit ketika meninjau situasi banjir di Kampung Parit Basri, Sri Medan pada 9 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, pemandu kenderaan tersebut dikatakan gagal membezakan antara jalan kampung dan parit ekoran laluan tersebut digenangi air.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Mohd. Mokhtar berkata, beliau mula bimbang apabila air memasuki tempat duduk penumpang dan beliau berdepan sedikit kesukaran untuk membuka pintu kenderaan.

Mujur tindakan pantas anggota polis berjaya menyelamatkan beliau dan semua yang berada di dalam kenderaan itu, termasuk Ketua Polis Daerah Batu Pahat.

"Bohong kalau saya cakap tidak bimbang. Namun, saya serahkan segala-galanya kepada Allah dan Alhamdulillah semuanya selamat.

"Jika tidak, akan terdapat dua kekosongan jawatan polis di negeri ini iaitu Ketua Polis Johor dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat," katanya secara bergurau.

Selain berita tentang Mohd. Mokhtar nyaris lemas, kisah rumah ibu dan adik kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan yang dilanda banjir turut mendapat perhatian media.

Ibu kepada usahawan kosmetik itu, Yatimi Abdul Raman, 81, berpindah ke rumah anak bongsunya, Mohd. Haris, 28, di kuarters rumah guru di Sri Medan yang tidak dilanda banjir.

Adik arwah, Rosnani, 44, bersama suami dan anak-anak enggan berpindah ke pusat pemindahan walaupun kawasan rumah mereka terputus hubungan kerana jalan ditenggelami banjir.

Menurut Rosnani, keluarganya tidak berhajat berpindah kerana rumahnya masih selamat untuk diduduki, malah mereka juga tidak berpindah sewaktu banjir besar melanda negeri ini pada 2006 dan 2007.

"Air naik lebih daripada paras lutut di bahagian dapur. Tetapi di bahagian lain rumah ini dibina agak tinggi dan masih selamat. Tetapi ibu kami terpaksa hantar ke rumah adik bongsu demi keselamatannya," katanya.

Kisah-kisah tersebut adalah sebahagian daripada pelbagai cerita yang mendapat perhatian media.

Banjir telah berakhir dan syukur pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulur bantuan yang diharapkan dapat meringankan penderitaan mangsa.

Apa yang pasti, penduduk Sri Medan akan meneruskan kehidupan seperti biasa, namun jauh di sudut hati mereka tetap wujud kebimbangan.

Mereka bimbang jika Segamat dilanda banjir dan risau andai beberapa hari dirasakan terlalu sejuk dan bimbang jika giliran mereka sampai untuk menghadapi bencana besar seperti yang berlaku pada 2006 dan 2007.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2 bulan taksir rugi banjir Johor

Posted:

2 bulan taksir rugi banjir Johor

2 bulan taksir rugi banjir Johor

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 2 Mac - Taksiran mengenai jumlah kerugian akibat bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, tempoh tersebut diperlukan untuk memperincikan maklumat mengenai kerugian itu berdasarkan pengalaman di Kedah tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan kepentingan masyarakat tani di negeri ini yang terjejas akibat bencana itu terbela dan bantuan sewajarnya diberikan kepada mereka.

Menurutnya, bantuan kepada petani merangkumi bekalan benih serta baja semoga kegiatan pertanian yang terjejas dapat dipulihkan semula.

"Seperti di Kedah, pada mulanya bantuan ihsan adalah sebanyak RM573 bagi setiap sehektar sawah padi yang terjejas, tapi setelah dialog dibuat dengan persatuan petani, kerajaan prihatin dan bersetuju agar nilai itu ditambah kepada RM876.

"Dalam perkara ini, kementerian akan turut menilai secara menyeluruh nilai kerugian yang dialami oleh para peladang dan petani di negeri Johor akibat banjir yang berlaku," katanya kepada pemberita merasmikan Persidangan Berkelompok Cawangan-cawangan UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Bakri di Dewan Serbaguna Parit Haji Zain, Bakri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Datuk Dr. Haris Salleh.

Mohd. Johari berharap para pegawai Jabatan Pertanian akan sentiasa turun padang untuk memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Projek-projek pertanian yang dilakukan perlu sentiasa diselia perkembangannya dan saya berharap masyarakat petani dan peladang juga akan dapat bertukar pendapat dengan kami menerusi forum dan perbincangan yang diadakan," katanya.

Sementara itu, Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu berkata, ahli UMNO perlu bersatu dan mengelakkan perebutan kuasa untuk memastikan parti kembali teguh dalam memimpin tampuk pemerintahan negara.

"Ahli UMNO di semua kawasan perlu gigih bekerja bermula dari sekarang terutamanya dalam mendaftarkan pengundi baru dan menambahkan keahlian untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Utusan Online - Keluarga

Posted: 02 Mar 2011 01:25 PM PST

Utusan Online - Keluarga


Pembantu rumah vs majikan

Posted:

Pembantu rumah vs majikan

Pembantu rumah vs majikan

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
dan NOOR FAZRINA KAMAL
maria.zakaria@utusan.com.my dan fazrina.kamal@utusan.com.my


Ada pembantu rumah yang gagal mengendalikan kerja-kerja mereka dengan baik. - Gambar hiasan


DI Malaysia hari ini, keperluan terhadap pembantu rumah warga asing semakin meningkat memandangkan ramai wanita yang bekerjaya memerlukan seseorang untuk menguruskan rumah tangga mereka.

Ini secara tidak langsung, segala kerja rumah termasuk menguruskan keperluan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah.

Bagaimanapun hari ini, untuk mengambil pembantu rumah bukanlah satu perkara mudah.

Jika anda bernasib baik, anda akan mendapat yang betul-betul baik. Jika sebaliknya ia akan menyusahkan diri sendiri.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Sebelum ini kita sering disajikan dengan cerita-cerita pembantu rumah didera majikan.

Ia seolah-olah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia merupakan majikan yang tidak mempunyai hati dan perasaan.

Tetapi sedarkah anda bahawa ada juga pembantu rumah yang bermasalah dan tidak berperikemanusiaan?

Mereka bukan sahaja tidak pandai membuat kerja rumah, tidak memahami budaya dan cara hidup masyarakat negara ini malah lebih teruk lagi ada yang berkelakuan tidak senonoh.

Juga melarikan diri dan mendera anak-anak majikan, menyebabkan majikan kerugian selepas membayar beribu-ribu ringgit kepada agensi mencari pembantu rumah.

Oleh itu, sebelum mengambil pembantu rumah banyak perkara perlu diambil kira termasuk mencari agensi yang berdaftar dan menjalankan urusan pengambilan secara bertanggungjawab dan bukan sekadar mencari keuntungan semata-mata.

Ini kerana ada juga agensi yang mengambil kesempatan dengan menjanjikan pelbagai faedah dan pakej menarik kepada pelanggan sebaliknya apabila mendapat wang mereka mula bersikap lepas tangan.

Sebelum anda membuat keputusan untuk mengambil pembantu rumah, apa kata layarilah laman web yang berkaitan seperti Imigresen, Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) serta Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pembantu rumah Indonesia masih relevan

Posted:

Pembantu rumah Indonesia masih relevan

Pembantu rumah Indonesia masih relevan

SIAPA tak sakit hati membaca kes-kes penderaan majikan terhadap pembantu rumah asing seperti yang dilaporkan di media. Tetapi bagi majikan yang pernah berhadapan dengan kes pembantu rumah bermasalah tentu akan memberi reaksi sebaliknya. Malah mungkin ada yang tergamak berkata padan muka kepada pembantu rumah yang didera kerana mereka juga melalui pengalaman yang sama cuma cara 'penderaannya' sahaja berbeza.

Memang secara umumnya kita hanya mengetahui kebanyakan kes seperti penderaan hanya melibatkan pembantu rumah asing sahaja. Walau bagaimanapun, perlu juga diketahui bahawa terdapat sebilangan kes-kes penderaan yang berlaku melibatkan majikan yang didera oleh pembantu rumah mereka sendiri.

Selain itu, majikan juga turut dibebani dengan masalah lain seperti pembantu rumah lari dan sebagainya sehingga menyebabkan mereka merasa terbeban dari segi mental akibat daripada masalah yang telah ditimbulkan oleh pembantu rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, undang-undang di Malaysia tidak menyebelahi mana-mana pihak sekiranya mereka melakukan kesalahan. Di bawah Akta Kerja 1955, sekiranya pihak majikan atau pekerja melanggar kesalahan yang telah diperuntukan, tindakan akan dilakukan bagi memastikan pihak yang dianiayai diberi perlindungan sewajarnya.

Di samping itu, katanya, sekiranya ia melibatkan kes-kes jenayah dan Imigresen, pihak polis dan Imigresen akan mengambil tindakan bagi memastikan pihak yang teraniaya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Pada masa ini, masalah terhadap isu ini masih terkawal. Pihak kerajaan melalui agensi berkaitan sentiasa mengambil tindakan bagi memastikan isu-isu yang berbangkit yang melibatkan pembantu rumah asing dapat ditangani dengan sebaiknya.

"Tidak dapat dinafikan, isu penderaan yang melibatkan pembantu rumah khususnya daripada negara Indonesia telah menjejaskan hubungan kedua-dua negara. Walau bagaimanapun, tindakan telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan sebaiknya bagi mengelakkan masalah yang lebih serius.

"Jika berlaku kes-kes yang tidak diingini seperti barang dicuri pembantu rumah, kes barang hilang, anak didera, jenayah dan sebagainya, buat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," kata Sheikh Yahya.

"Manakala kes yang melibatkan seperti penderaan pembantu rumah oleh majikan, majikan tidak dibayar gaji dan sebagainya, boleh dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang memberi perlindungan dari segi perundangan." katanya.

"Bagi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), adalah merupakan agensi yang bertanggungjawab sekiranya berlaku penyalahgunaan pasport," jelas Sheikh Yahya.

Mengenai cadangan agar kerajaan membuka peluang mengambil pembantu rumah berskala besar dari negara lain selain Indonesia seperti Vietnam dan Kemboja, namun Sheikh Yahya berkata pada masa ini, Indonesia merupakan pembekal tenaga kerja terbesar berbanding negara sumber lain.

Antara faktor yang menyebabkan majikan di Malaysia cenderung untuk mengambil pembantu rumah dari negara berkenaan ialah komunikasi dan bahasa, geografi dan demografi.

"Namun, pihak kerajaan juga telah mengadakan kerjasama dengan lapan lagi negara sumber seperti Thailand, Filipina, Sri Lanka, India, Laos, Nepal termasuklah juga Vietnam dan Kemboja. Walau bagaimanapun, negara sumber berkenaan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi di samping kecenderungan pihak majikan yang lebih berminat untuk mengambil pembantu rumah dari negara Indonesia malah kerajaan pada masa sekarang menyarankan negara sumber sedia ada terus digunakan tanpa menambah negara sumber baru selaras dengan dasar kerajaan mengurangkan penggunaan tenaga kerja asing," ujar beliau.

Katanya, pengambilan pembantu rumah daripada Indonesia masih relevan. Di samping mempunyai persamaan dari segi bahasa, budaya dan adat resam dengan rakyat di negara ini, mereka juga adalah merupakan negara jiran yang mempunyai pertalian rapat dengan negara ini khususnya daripada segi sejarah dan pertalian keluarga.

Persamaan ini telah menyebabkan kebanyakan majikan di negara ini lebih berminat dengan mengambil pembantu rumah daripada negara berkenaan.

"Pada masa ini juga, pihak kerajaan tidak bercadang untuk mewujudkan geran atau subsidi bagi menggalakkan pengambilan pembantu rumah di negara ini. Faktor kelayakan dan juga kemampuan adalah di antara perkara penting yang perlu diberi penekanan sebelum kebenaran diberikan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah (syarat-syarat pengambilan dan kelayakan mendapat khidmat pembantu rumah boleh dirujuk kepada pihak KDN).

"Berdasarkan pengamatan pihak kerajaan, pengambilan pembantu rumah telah menjadi satu keperluan kepada rakyat di negara ini khususnya yang bekerjaya. Walaupun tujuan asalnya hanya dibenarkan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan dan penjagaan ahli keluarga seperti anak-anak, senario semasa di mana ramai suami-isteri yang bekerjaya menyebabkan khidmat pembantu rumah sangat diperlukan dan bukan lagi dilihat sebagai kehendak semata-mata.

"Pihak kerajaan juga tidak bercadang untuk mewujudkan skim bagi membolehkan ramai rakyat yang memerlukan pembantu rumah mendapat kemudahan tersebut. Perlu juga diketahui tujuan dan sebab utama pihak kerajaan membenarkan pengambilan pembantu rumah asing adalah disebabkan permintaan pelbagai pihak khususnya rakyat yang bekerja," jelas Sheikh Yahya.

Beliau menambah, pihak kerajaan sentiasa memantau operasi Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang menjalankan operasi bagi mengambil pembantu rumah masuk ke negara ini dan menetapkan syarat supaya pihak agensi mendaftar sebarang maklumat mengenai pekerja yang digajikan di bawah agensi berdasarkan peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan