Kategori Sana Sini
Jamil Khir Nafi Dakwaan Guna Peruntukan Yayasan Taqwa Untuk Program Di Jerai
PUTRAJAYA, 3 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa beliau menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk program politiknya sebagai berniat jahat.
Katanya permainan politik pembangkang sudah tidak amanah kerana sanggup mengetepikan aspek benar dan salah demi menimbulkan persepsi negatif rakyat.
"Dakwaan yang kata saya guna duit Yayasan Taqwa tidak betul," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jamil Khir mengulas dakwaan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bahawa beliau menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dipengerusikannya bagi membiayai program politiknya di Jerai, Kedah.
Laporan itu menyebut Jamil Khir menggunakan peruntukan tersebut untuk memberi bantuan kepada masyarakat di Jerai iaitu kawasan yang akan ditandingi beliau pada pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata dakwaan itu juga tidak tepat kerana membayangkan Yayasan Taqwa hanya membantu mereka yang berada di Wilayah Persekutuan.
"Seluruh Malaysia kita bagi bantuan melalui Yayasan Taqwa. Baru-baru ini saya sampaikan bantuan di Terengganu dan Kelantan," katanya.
Jamil Khir sebelum itu menghadiri majlis perhimpunan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta melancarkan Ensiklopedia Ulama dan buku-buku terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan dijual di pasaran.
Pada majlis itu Jamil Khir turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada mangsa banjir di Thailand yang diterima wakil kedutaan Thailand di Negara ini, Songsak Saicheua.
Sumbangan itu adalah hasil kutipan masjid-masjid di bawah kendalian Jakim iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah di Kuala Lumpur serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya.
Lagi Berita Berkaitan :
Berita Bertarikh 3 February 2012 Pada 4:40 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan