02 di kuala kedah - Google Blog Search |
Sejala Rezeki , Seterik Mentari <b>Di Kuala Kedah</b> | maidaribendang Posted: 01 Jan 2012 07:50 AM PST Salam kepada semua, "Kalau tersengat duri ikan belukang ni , kita kena cepat-cepat 'rendam' bahagian yang terkena tu dalam pasir. Insya Allah bisa tu akan hilang". Demikian petua untuk menghilangkan bisa sengat ikan duri atau ikan belukang yang diberikan oleh seorang lelaki pertengahan umur yang aku temui ketika bersiar-siar di suatu pagi di Kota Kuala Kedah ataupun juga dikenali sebagai Kota Kuala Bahang di Kuala Kedah , lebih kurang 20km dari bandaraya Alor Setar. Sedikit info untuk pengetahuan bersama. Mengikut maklumat yang terdapat dari laman web Jabatan Muzium Malaysia , kota pertahanan Melayu ini telah dibina pada 1711 ketika pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa hasil kehebatan rekabentuk oleh seorang tokoh senibina Kedah yang ketika itu menjawat jawatan Dato' Maharaja Kadhi. Manakala tukang-tukang mahirnya di'import' khas dari India. Sebuah pintu gerbang telah dibina di bahagian tembok timur menghadap ke Alor Melaka dikenali dengan nama "Pintu Gerbang Kadapuri". Kota ini juga pernah diserang oleh Bugis, Acheh dan Siam. Pada 1909 apabila Kedah dengan rasminya diletakkan di bawah pentadbiran British , beberapa buah pejabat kerajaan telah dibina di dalam kawasan kota ini, termasuklah sebuah rumah api. Kini kawasan Kota Kuala Kedah telah diisytiharkan sebagai sebuah "Tapak Tanah Bersejarah" sejak 1978 dan bangunan-bangunan yang dibina oleh British telah dijadikan muzium dan ia dibuka kepada umum untuk lawatan setiap hari kecuali Jumaat. "Selalunya , ikan belukang ini orang buat masak apa?" tanya aku kepada lelaki tersebut yang aku panggil pakcik. Beliau hadir ke kawasan muara Sungai Kedah ini yang terletak di dalam kawasan Kota Kuala Kedah ini semata-mata untuk menjala ikan bersama isterinya. Kedua-dua suami isteri ini begitu peramah dan sudi melayan pertanyaan aku. " Ada yang buat goreng begitu saja , buat asam pedas pun ada , tapi ramai yang buat jemur ikan ni buat jadi ikan kering" jawab isteri pakcik sambil perhatiannya ditumpukan kepada suaminya yang sedang sibuk menarik keluar ikan-ikan yang terperangkap di dalamnya. Perhatian aku tertarik kepada sebuah bekas yang ada berdekatan dengan makcik itu. Ia adalah sebuah baldi cat rumah yang sudah kosong dan ia digunakan untuk mengisi hasil tangkapan mereka. Bekas tersebut hampir penuh dengan ikan belanak, atau ia juga dipanggil ikan kedera oleh masyarakat tempatan. Anggaran aku ia mungkin sudah lebih dari satu kilogram. Ikan ini kalau dimasak goreng begitu saja memang menyelerakan tambah-tambah lagi ketika baru diangkat dari kuali. Teringat aku kembali kenangan ketika menziarahi seorang rakan sewaktu di bangku sekolah menengah. Kebetulan bapanya nelayan di Kuala Kedah , jadi ikan inilah yang menjadi buah tangan dari mereka ketika aku pulang. Itulah pertama kali aku merasa lauk ikan tersebut. " Awak cuba tengok dari atas tu, bagitahu saya di mana ada ikan sebab saya dibawah ni tak boleh nampak " kata pakcik kepada isterinya. "Macamana kita nak tahu ada ikan , pakcik?" tanya aku , memang aku tidak berapa arif mengenai bab-bab menangkap ikan. Baik memancing mahupun menjala. Yang aku tahu hanya beli ikan di pasar sahaja. " Kita boleh nampak, sekali-sekala ia akan muncul seperti kilasan di permukaan air" kata pakcik sambil terus menebarkan jalanya ke pesisir Sungai Kedah. Kali ini ada sesuatu yang tersangkut pada jalanya. " Alhamdulillah , rezeki lagi kali ni. Di rumah kami pun dah ada seekor. Makcik simpan dalam akuarium , bila sudah banyak boleh masak untuk makan kami anak beranak " kata makcik tadi bilamana seekor udang galah terperangkap di dalam jala suaminya. Hari semakin terik , agak aku ketika itu jam sudah pun menunujukkan hampir pukul 11 pagi. Muara Sungai Kedah di hadapan kami semakin sibuk dengan lalulintasnya. Pada waktu sebegini semakin ramai nelayan yang pulang ke pengkalan membawa hasil tangkapan selepas keluar pada awal paginya. Rata-rata mereka ialah nelayan-nelayan pesisir pantai yang keluar menangkap ikan menggunakan bot atau perahu kecil. Selain dari pasangan suami isteri yang aku temui tadi , terdapat beberapa orang pemancing yang sedang bersabar menantikan umpan mereka disentap oleh sesuatu . Mungkin sesuatu yang boleh dijadikan sebagai lauk waktu tengahari nanti. Tiba-tiba ada sesuatu yang menyebabkan aku tertarik untuk merakamkan aksi lelaki di bawah ini. Melentur rod pancingnya , seperti ada sesuatu yang begitu besar di dasar sana yang menyentap dan menarik. Aku perhatikan beliau kemudiannya dengan perlahan-lahan memutarkan motor pancingnya. Dengan pantas aku menghalakan lensa kearah 'ikan' yang sedang ditariknya dari air. Pergerakan 'ikan' berkenaan agak pelik apabila melihat hasil dari kocakkan yang terjadi di permukaan air. Apabila sudah hampir dekat , kelihatan segumpal plastik yang terlekat pada mata kailnya. "Kali ini dah masuk dua kali dah terlekat sampah..." kata lelaki itu apabila beliau tersedar yang aku sedang merakamkan aksi 'pertarungan' beliau dengan plastik tadi. Kepada mereka yang pernah ke Pulau Langkawi dengan menggunakan perkhidmatan feri melalui Jeti Kuala Kedah , mungkin akan terperasan tentang kewujudan sebuah bangunan yang berbentuk seperti istana yang begitu cantik seperti di bawah ini. Jangan tersilap sangka dengan mengatakan inilah Kota Kuala Kedah yang dimaksudkan itu. Sebenarnya ia adalah bangunan kepada ibupejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Utara. Bangunan ini adalah bangunan moden dan ia terletak betul-betul bersebelahan dengan Kota Kuala Kedah Mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, kawasan ini tidak dibuka kepada umum dan dikelilingi oleh pagar. Tetapi aku dapat merakamkan satu akitiviti 'pencerobohan' yang dilakukan oleh beberapa individu yang tidak dikenali ke kawasan berkenaan. Apakah yang sedang dicari oleh dua orang budak lelaki di dalam kawasan tersebut? Adakah mungkin ada sesuatu yang boleh dijadikan sebagai rezeki kepada mereka dan keluarga. Wallahu'alam... |
You are subscribed to email updates from di kuala kedah - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan