Harapan Zam kepada pengundi Merbok
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyeru para pengundi Merbok, kawasan Parlimen yang pernah diwakilinya supaya memilih parti dan bukan memilih calon dalam pilihan raya akan datang demi untuk mengembalikan kuasa dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN).
Zainuddin yang juga lebih mesra dipanggil Zam menyatakan bahawa beliau hanya menyampaikan amanat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan baru-baru ini yang juga boleh diaplikasikan di lain-lain kawasan".
''Bagi saya sendiri jika dikehendaki, saya akan pergi membantu sesiapa juga calon yang akan diletakkan bertanding di kawasan Merbok, walaupun mungkin calon itu tidak disenangi oleh saya. Ini kerana 'membunuh' calon ini bererti akan mengorbankan parti dan kepentingan agama, bangsa dan negara.
''Sekiranya sikap ini ditanam dalam hati semua penyokong BN dari sekarang, sama ada di dalam parti atau di luar parti, maka calon BN akan mencapai kemenangan. Namun saya juga berharap Presiden BN juga mestilah mengambil tindakan disiplin yang tegas dan pantas terhadap calon tidak terpilih yang menentang keputusan parti,'' katanya.
Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia di sini, Zainuddin meminta orang ramai atau ahli parti jangan terbawa-bawa dalam arus persaingan parti atau bahagian untuk menjadi calon dalam kawasan Merbok.
Ini adalah persengketaan dalam cawan sebaliknya apabila Perdana Menteri telah membuat pemilihan semua ahli mestilah memberikan undi kepada calon itu.
Menurut Zainuddin, dalam pilihan raya lalu majoriti pengundi telah memberikan undi kepada calon pembangkang yang tidak pun diketahui latar belakang mereka.
''Saya percaya pengundi-pengundi Merbok memang mempunyai sikap yang bijaksana. Umpamanya semasa saya bertanding sebagai calon payung terjun, sekalipun saya bukan Ketua Bahagian atau ahli UMNO Bahagian Merbok, para pengundi Merbok telah memberikan kemenangan besar kepada saya pada tahun 2004.
''Peradaban tinggi dan mulia orang Merbok yang terbukti dari kebijaksanaan dan kesetiaan mereka sekian lama dalam pilihan raya hendaklah diulangi dalam pilihan raya kali ini,'' katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan