Lapangsasar Gurun yang terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Perak telah dibina oleh Tentera British pada tahun 1940 dan diwartakan pada tahun 1947. Ianya dibina bagi tujuan latihan menembak senjata kecil dan senjata bantuan untuk Tentera British dan juga Rejimen Askar Gurkha yang berpangkalan di Kem Lapangan Terbang dan Kem Sungai Layar serta unit-unit berhampiran pada ketika itu. Unit Pentadbiran Lapangsasar ini telah diberi nama Kem Hobart mengambil sempena nama pengasasnya iaitu Captain Hobart, seorang pegawai Tentera British.Selepas negara mencapai kemerdekaan, Lapangsasar ini telah diwartakan semula sebagai kawasan tembakan pada tahun 1964 melalui gazet LN no.10 dan LN no.11 bertarikh 9 Januari 1964. Kawasan asal yang diwartakan adalah seluas 4,740 ekar dan daripada keluasan tersebut hanya 2,686 ekar sahaja yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa sekarang. Sebahagiannya telah diteroka oleh penduduk tempatan dan dipindah milik kepada mereka oleh kerajaan Negeri Kedah.
Setelah pengunduran Tentera British dari Tanah Melayu, Lapangsasar ini telah diambil alih oleh ATM pada 5 Ogos 1969. Lapang sasar ini telah terbiar tanpa senggaraan pada masa peralihan tersebut. Tanah-tanahnya juga telah diteroka oleh penduduk kampong dengan tanaman getah, padi, dusun buah-buahan tanpa diawasi oleh mana-mana pihak. Kesan peninggalan tanaman ini masih kekal hingga ke hari ini.
Bagi menjaga kepentingannya pada masa itu, Markas 6 Briged telah meletakkan satu Platun Infantri di bawah pengawasan Markas Staf Stesyen Sungai Petani untuk mengawasinya. Dengan perkembangan pesat ATM di awal tahun 1980, Batalion ke 31 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah ditubuh dan ditempatkan di kem ini. Namun begitu, penempatan batalion ini tidak lama apabila ia dibubarkan selepas itu. Pentadbiran seterusnya diambil semula oleh Markas Staf Stesyen Sungai Petani.
Beberapa peningkatan mengikut keperluan Sistem Latihan Tembak Tempur telah dilaksanakan pada tahun 1992, Unit Lapangsasar Gurun telah ditubuhkan dengan rasminya. Ia diletakkan di bawah Perintah Markas 2 Divisyen dan di bawah Pentadbiran Tempatan 6 Briged. Pegawai Perhubungan Lapangsasar yang pertama ialah Mejar(TIG) Ang Chai Guan dari Rejimen Artileri Diraja.
Pada 8 Oktober 1999, Lapangsasar ini telah bertukar pemerintahannya kepada Markas Pemerintahan Latihan TD dan Pentadbiran Tempatan kekal di bawah Markas 6 Briged.
Pada tahun 2003, ia diletakkan semula di bawah pemerintahan Markas 2 Divisyen dan Kawalan Teknikal oleh Markas Pemerintahan Latihan TD, manakala Pentadbiran Tempatan kekal di bawah Markas 6 Briged sehingga sekarang. Pada tahun 2008, Kawalan Teknikal telah diambil alih oleh Markas Medan TD. (rujukan http://min-def.blogspot.com/2011/06/kem-hobart-digempur.html )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan