Rabu, 1 Mei 2013

di negeri kedah - Google Blog Search

di negeri kedah - Google Blog Search


kamisokongpas | O |: PROFIL DAN BIODATA CALON PAS <b>NEGERI</b> <b>...</b>

Posted: 23 Apr 2013 11:11 PM PDT

Berikut adalah profil bagi calon-calon PAS yang bertanding bagi DUN Kedah dalam Pilihanraya Umum ke 13:

N01 Ayer Hangat

Di N01 Ayer Hangat, PAS telah mencalonkan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir bin Ahmad sebagai calon bagi DUN tersebut. Beliau akan ditentang calon Barisan Nasional, Mohd Rawi bin Abd Hamid.

Calon PAS yang berusia 50 tahun ini merupakan seorang ahli perniagaan di Langkawi dan memiliki kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Di peringkat negeri Kedah, beliau juga merupakan ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah.

N03 Kota Siputeh

Dun Kota Siputeh dalam Parlimen Jerlun merupakan sebuah kerusi tumpuan yang mampu dimenangi oleh PAS dalam PRU kali ini apabila Barisan Nasional mengekalkan calon bermasalah mereka, Datuk Abu Hasan Sarif yang pernah diisyhtiharkan sebagai bukan lagi ADUN Kedah setelah gagal hadir dalam persidangan DUN Kedah tanpa makluman kepada Speaker.

Dalam PRU kali ini, PAS telah mencalonkan Ustaz Haji Ismail Wan Teh sebagai calon di DUN tersebut. Berusia 51 tahun, beliau adalah merupakan seorang bekas guru dengan kelulusan Diploma Pendidikan dari Maktab Perguruan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.

Sekarang beliau adalah merupakan seorang ahli perniagaan sepenuh masa.

N04 Ayer Hitam

Pertembungan yang paling menjadi tumpuan dalam PRU13 di Kedah pada kali ini adalah pertembungan di antara calon PAS, Ustaz Abdul Ghani Ahmad menentang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang disebut-sebut menjadi calon Menteri Besar Kedah sekiranya UMNO berjaya memenangi PRU kali ini.

Walaubagaimanapun, usaha Mukhriz bukan mudah apabila DUN Ayer Hitam adalah merupakan sebuah kubu kuat PAS dalam kawasan daerah Kubang Pasu (Parlimen Jerlun) dan calon PAS iaitu Ustaz Abdul Ghani Ahmad adalah seorang pemimpin yang cukup berpengaruh di kawasan tersebut.

Berusia 43 tahun, Ustaz Abdul Ghani yang merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai pengalaman sebagai seorang peguam syariah sebelum bergiat aktif dalam politik. Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan negeri Kedah (2010-2013) yang memegang portfolio Penerangan dan Pembangunan Usahawan. Sebelum itu, Ustaz Abdul Ghani adalah merupakan Timbalan Speaker DUN Kedah (2008-2010).

N06 Jitra

Dilahirkan di Kampung Pulau Nyior, Jitra pada tahun 1953, Dr. Rohani binti Abdul Muttalib bukanlah seorang yang asing kepada penduduk di kawasan Jitra. Beliau yang merupakan seorang pengamal perubatan telah berkhidmat di Pusat Kesihatan Jitra sebelum membuka kliniknya sendiri iaitu Klinik Darul Syifa pada tahun 1984.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah ini juga adalah merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kaherah, Mesir dan menjadi seorang doktor perubatan semenjak tahun 1980.

Dalam PRU kali ini, Dr.Rohani akan mencabar calon Barisan Nasional, Aminuddin bin Omar yang merupakan salah seorang calon muka baru dalam senarai calon BN Kedah. Peluang Dr.Rohani untuk mencuba nasib kali ketiga adalah cerah apabila pemilihan calon BN, Aminuddin Omar ditentang oleh ahli partinya sendiri yang inginkan penyandang di kerusi tersebut, Datuk Saad Man dikekalkan sebagai calon di DUN Jitra sehingga membawa kepada demonstrasi membantah pencalonan Aminuddin.

N07 Kuala Nerang

Di DUN Kuala Nerang dalam Parlimen Padang Terap, pertandingan tiga penjuru berlaku di antara calon PAS, Syed Ibrahim Syed Omar, calon Barisan Nasional yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Badrol Hisham bin Hashim dan calon Bebas, Ahmad bin Mad Daud.

Berusia 49 tahun, Syed Ibrahim yang merupakan seorang ahli perniagaan adalah merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Terap.

N09 Bukit Lada

Calon PAS bagi DUN Bukit Lada dalam Parlimen Pokok Sena, Ustaz Ahmad 'Izzat Shauki akan ditentang oleh calon BN, Datuk Ahmad bin Lebai Sudin, Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena.

Berusia 34 tahun, Ustaz Ahmad 'Izzat adalah merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau telah menjadi tenaga pengajar dan Timbalan Pengetua di Madrasah Taklimiah al-Khairiah di Tok Keling.

Dalam pentadbiran negeri Kedah, beliau yang merupakan ADUN Bukit Lada sejak tahun 2008 juga adalah merupakan Timbalan Speaker DUN Kedah (2010-2013). Beliau juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah dan Bendahari Dewan Ulama PAS Negeri Kedah.

N10 Bukit Pinang

Di Bukit Pinang, salah sebuah kerusi DUN dalam Parlimen Pokok Sena, PAS mencalonkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Wan Romani bin Wan Salim yang akan ditentang calon BN, Mohd Mukhtar Mohd Noor.

Berusia 57 tahun, beliau adalah merupakan seorang graduan lepasan Diploma Teknologi Maklumat dan Perniagaan dari Kolej Telekom Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sebelum menceburi diri dalam bidang politik, beliau mempunyai pengalaman sebagai Pegawai Teknik di Telekom Malaysia.

Di peringkat PAS Kedah, beliau juga adalah merupakan Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah dan Ketua Urusan Penerangan JPN Kedah.

N14 Alor Mengkudu

Selain DUN Ayer Hitam di Jerlun, DUN Alor Mengkudu juga adalah merupakan salah satu kerusi tumpuan dalam PRU kali ini yang menjadi kerusi tunggal PAS dalam Parlimen Alor Setar. Penyandang kerusi ini sebelumnya, Dr.Ismail Salleh yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Setar telah dibawa bertanding ke Parlimen Jerlun, dan tempat beliau diganti oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Kerusi DUN Alor Mengkudu menjadi tumpuan apabila berlakunya pertembungan tiga penjuru di antara calon PAS dengan calon BN, Sharifah Maznah binti Syed Kassim Barakbah serta kemunculan semula bekas EXCO Kerajaan Negeri Kedah ketika zaman pentadbiran UMNO di Kedah, iaitu Fadzil Hanafi yang kecewa dengan kekurangan calon UMNO yang berlatarbelakangkan agama di Kedah.

Calon PAS, Ustaz Ahmad Yahaya yang berusia 38 tahun adalah merupakan seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Dakwah dari Universiti Islam Riau di Indonesia. Beliau adalah merupakan Mudir kepada Madrasah Taklimiah Al-Khairiah, Tok Keling bersama-sama calon PAS Dun Bukit Lada, Ustaz Ahmad 'Izzat Shauki.

Di peringkat PAS Kedah, selain menjadi Ketua Pemuda PAS Kedah, beliau juga adalah merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Setar, Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah dan Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan PAS Kedah.

N15 Anak Bukit

Calon PAS bagi DUN Anak Bukit, Dato' IR Haji Amiruddin Hamzah adalah merupakan penyandang kerusi tersebut selama hampir tiga penggal dan merupakan salah sebuah kubu kuat PAS di Kedah semenjak zaman Allahyarham Datuk Haji Fadzil Noor, mantan Presiden PAS.

Dalam PRU kali ini, beliau akan dicabar oleh dua orang lagi calon iaitu Hashim bin Jahaya (BN) dan Abd Samat Che Noh (Bebas).

Berusia 51 tahun, beliau adalah merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam & Struktur dari Universiti Bradford dan mendapat Sarjana (Masters) dalam Pengurusan Perniagaan di universiti yang sama. Sebelum diangkat menjadi calon dalam Pilihanraya Kecil DUN Anak Bukit pada tahun 2002, beliau berkhidmat sebagai jurutera di Darulaman Realty Sdn Bhd selain pernah berkhidmat sebagai jurutera MADA. Beliau juga pernah menghasilkan sebuah buku terbitan MCB University Press (1996) bertajuk People Management: Where is The Best Practice?

Dalam pentadbiran negeri Kedah, beliau adalah merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang menjawat Portfolio Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Sains dan Inovasi Negeri Kedah. Dalam parti pula, beliau adalah merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Bendahari PAS Kedah.

N16 Kubang Rotan

Walaupun DUN Kubang Rotan pernah menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional ketika era pentadbiran Menteri Besar Dato' Seri Syed Razak Syed Zain kerana DUN tersebut diwakili oleh beliau sendiri, pengaruh BN di kawasan tersebut beransur hilang dan hasilnya, calon PAS iaitu Mohd Nasir Mustafa berjaya memenangi kerusi tersebut dalam PRU12 pada tahun 2008.

Dalam pertembungan kali ini, calon PAS iaitu Mohd Nasir Mustafa akan mempertahankan kerusi DUN Kubang Rotan dan akan ditentang oleh calon BN, Datuk Latt Shariman bin Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah yang juga merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Dilahirkan pada tahun 1968, calon PAS yang berusia 45 tahun ini adalah merupakan seorang ahli perniagaan sebelum bergiat aktif dalam politik. Beliau yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah juga adalah merupakan Pengerusi Lajnah Pekerja, Peneroka, Petani dan Nelayan PAS Negeri Kedah.

N17 Pengkalan Kundor

Walaupun dilanda sedikit kontroversi di antara Dato' Ir. Phahrolrazi Zawawi dengan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak, nama Dato' Phahrolrazi masih dikekalkan sebagai calon PAS bagi kawasan DUN Pengkalan Kundor. Dalam PRU kali ini, beliau akan ditentang oleh calon BN, Noor Hasita binti Mat Isa dalam pertembungan dua penjuru.

Berusia 60 tahun, beliau merupakan seorang graduan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Bachelor of Engineering (Civil)(Hons). Sebelum menyertai politik, beliau adalah merupakan jurutera di Jabatan Kerjaraya (JKR) sebelum meletak jawatan dan menjadi ADUN Pengkalan Kundor pada tahun 1999.

Dalam pentadbiran Kedah, beliau telah dilantik menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Kedah dengan menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga. Dalam parti pula, beliau adalah merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Negeri Kedah selain menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah.

N18 Tokai

Di antara kubu kuat PAS di Kedah ialah DUN Tokai dalam Parlimen Pendang. Kerusi tersebut disandang oleh wakil PAS, Dato' Taulan bin Mat Rasul yang akan turun mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU kali ini. Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan dua orang lagi calon iaitu calon BN, Najmuddin bin Darus dan calon Bebas, Abu Bakar bin Abdullah.

Berusia 71 tahun, Dato' Taulan adalah merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan menjadi penasihat perundangan kepada Majlis Bandaraya Alor Setar. Dalam pentadbiran negeri, beliau adalah merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang menyandang portfolio Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Dalam peringkat parti, beliau adalah merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang dan juga ahli Badan Perhubungan PAS Kedah.

N19 Sungai Tiang

Dun Sungai Tiang dalam Parlimen Pendang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara penyandang, Suraya Yaacob (BN), calon PAS, Fadzil bin Baharum dan dua orang calon Bebas iaitu Charean A/L Isen dan Rosli bin Omar.

Calon PAS bagi DUN Sungai Tiang, Fadzil Baharum yang berusia 43 tahun adalah merupakan seorang ahli perniagaan dan pengarah urusan kepada sebuah syarikat persendirian.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah MTD Sungai Tiang juga adalah merupakan ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah dan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Pendang.

N20 Sungai Limau



Setelah mengetuai pentadbiran kerajaan PAS Kedah selama lima tahun, YAB Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak sekali lagi diberi peluang untuk mengetuai PAS dalam PRU kali ini di DUN Sungai Limau. Beliau akan ditentang oleh calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali yang merupakan sepupu beliau sendiri serta dua orang lagi calon Bebas iaitu Abdullah bin Hashim dan Sobri bin Ahmad. Walaupun menghadapi pertentangan empat penjuru, rekod bersih PAS di DUN Sungai Limau (dahulunya DUN Sala) selama beberapa penggal di bawah Ustaz Azizan agak sukar untuk dicabar.

Berusia 69 tahun, Ustaz Azizan mempunyai kelayakan akademik dalam Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir sebelum mendapat Sarjana (masters) Undang-undang dari Universiti Kent At Canterburry, England. Sebelum berkecimpung dalam politik, beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud, Ketua Jabatan Syariah UKM dan Pensyarah UIA.

Pada tahun 2008, beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kedah dan memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli Negeri Kedah.

Dalam parti, beliau adalah merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Yang Dipertua PAS Kawasan Jerai (Yan) dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

N21 Guar Chempedak

DUN Guar Chempedak adalah merupakan salah sebuah kerusi DUN dalam Parlimen Jerai yang dimenangi oleh calon BN dalam PRU12 pada tahun 2008. Dalam PRU kali ini, PAS menurunkan calonnya, Ustaz Musoddak Haji Ahmad bagi menentang penyandang kerusi DUN Guar Chempedak, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Berusia 44 tahun, Ustaz Musoddak adalah merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Institut Pendidikan Islam Antarabangsa Sayed Maudoodi, Lahore, Pakistan. Beliau bergiat aktif dalam menjadi tenaga pengajar di beberapa buah sekolah agama di Kedah termasuklah di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Baling, Guru Besar Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Anak Bukit dan Sekolah Integrasi Faizin di Guar Chempedak.

Dalam pentadbiran negeri Kedah, beliau telah dilantik menjadi Pegawai Khas Bahagian Penerangan kepada YAB Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak. Di peringkat parti, beliau adalah merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah dan Timbalan Pengarah MTD Guar Chempedak.

N23 Belantik


Dalam PRU pada tahun 2008, BN berjaya mengekalkan penguasaan mereka di DUN Belantik dalam Parlimen Jeneri apabila calon PAS, Sanusi Md Nor yang juga merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah tewas di tangan Mohd Tajuddin Abdullah.

Pada PRU kali ini, PAS menurunkan calon muka baru iaitu Al-Fadhil Ustaz Abu Bakar Bakilani di DUN Belantik. Berusia 43 tahun, beliau merupakan pelajar lepasan Maktab Mahmud Alor Setar sebelum mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sebelum menyertai politik, beliau pernah bertugas sebagai guru sandaran, pegawai Projek Pusat Penyelidikan Dasar USM dan Pegawai Penyelaras Pentadbiran Masjid di Pulau Pinang (JAIPP). Di peringkat parti, beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik.

N24 Jeneri

Di DUN Jeneri dalam Parlimen Sik, PAS menurunkan guru SMK Kota Kuala Muda, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman sebagai calon bagi mengekalkan penguasaan PAS di DUN Jeneri. Beliau akan ditentang oleh calon BN, Mahadzir bin Abdul Hamid.

Berusia 37 tahun, bekas guru ini mempunyai latar belakang pendidikan perundangan apabila memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Syariah
Universiti Malaya, Diploma Syariah Universiti Islam Antarabangsa dan Sijil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Beliau merupakan seorang yang bergiat aktif dalam NGO termasuklah menjadi Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Penolong Setiausaha Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Setiausaha ISRA. Di peringkat parti, beliau merupakan AJK Lajnah Penerangan PAS Kedah, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah dan ahli jawatankuasa MTD Jeneri.

N26 Tanjong Dawai

DUN Tanjong Dawai dalam Parlimen Merbok merupakan sebuah kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti tipis 79 undi melalui Dr.Hamdan Mohd Khalib. Dalam PRU kali ini, PAS mencalonkan Ustaz Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai calon dan ditentang oleh Datuk Tajul Urus bin Mat Zain, Ketua UMNO Bahagian Merbok.

Calon PAS kali ini, Ustaz Ahmad Fakhruddin berusia 42 tahun merupakan seorang lulusan Sarjana (Master) Muda Undang-undang (Perbandingan) dari UIA dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah( dari UKM.

Sebelum menjadi calon PAS, beliau merupakan Pengetua di SMA Daris di Sungai Jagung dan merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Merbok.

N27 Pantai Merdeka

Di DUN Pantai Merdeka dalam Parlimen Sungai Petani, PAS mengekalkan ADUN Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh sebagai calon di kerusi berkenaan. Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan dua orang lagi calon iaitu Ali bin Yahaya (BN) dan Mohd Yusuf bin Lazim (Bebas).

Berusia 64 tahun, Haji Abdullah merupakan seorang graduan daripada Diploma Sains Pengurusan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan turut memegang Sijil Training of Trainers, Institute of Public Administration, India.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Petani juga adalah merupakan ahli jawatankuasa dalam Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah.

N30 Bayu

Di DUN Bayu dalam Parlimen Baling, PAS menurunkan calonnya Ustaz Mahmud Yaakob bagi merampas kerusi berkenaan dari tangan BN yang menurunkan Azmi Che Husain dalam PRU kali ini. Pada PRU yang lalu, PAS tewas di DUN Bayu dengan majoriti 984 undi. Ketika itu, PAS diwakili oleh Ustaz Musoddak Ahmad yang kini beralih angin ke DUN Guar Chempedak dalam Parlimen Jerai.

Beliau yang merupakan salah seorang daripada tenaga pengajar di Maahad Mahmud juga adalah merupakan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Baling.


N31 Kupang

Di DUN Kupang, salah sebuah DUN dalam Parlimen Baling, PAS mengekalkan ADUN Kupang, Cikgu Johari Abdullah sebagai calon di DUN berkenaan. Beliau akan ditentang calon BN, Harun bin Abdul Aziz.

Berusia 47 tahun, Cikgu Johari merupakan seorang graduan lulusan Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau merupakan salah seorang daripada tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Baling.

Di peringkat parti, beliau juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Baling.

N32 Kuala Ketil

Salah sebuah kubu kuat PAS dalam Parlimen Baling ialah DUN Kuala Ketil. Bagi mempertahankan kerusi ini dalam PRU13, PAS menurunkan penyandang kerusi tersebut, Cikgu Haji Md Zuki bin Yusof. Beliau akan menghadapi saingan tiga penjuru dengan dua orang lagi calon termasuklah calon BN, Mohd Khairul Azhar bin Abdullah dan calon KITA, Krishnan A/L Ganapathy.

Berusia 55 tahun, Haji Md Zuki merupakan seorang graduan lepasan Maktab Perguruan Sultan Abdul Hamid (IPSAH) di Sungai Petani, Kedah. Sebelum mengambil keputusan menyertai pilihanraya, beliau adalah merupakan seorang guru di sekolah kebangsaan.

Di peringkat parti, beliau merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Baling.

N33 Merbau Pulas

DUN Merbau Pulas yang terletak dalam Parlimen Padang Serai akan dipertahankan oleh penyandangnya iaitu Dato' Ustazah Siti Aishah binti Haji Ghazali. Dalam PRU kali ini, BN turut mencalonkan calon wanita bagi menentang calon PAS di DUN Merbau Pulas iaitu Marlia binti Abdul Latiff.

Dilahirkan pada tahun 1962 dan berusia 51 tahun, Ustazah Siti Aishah adalah merupakan graduan Diploma Tasawwur Islam dari ILHAM. Dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah, beliau merupakan seorang Exco kerajaan negeri Kedah yang memegang portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah.

Di peringkat parti, beliau adalah merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

N36 Bandar Baharu


Di DUN Bandar Baharu dalam Parlimen Kulim-Bandar Baharu, PAS memperkenalkan muka baru bagi mempertahankan kerusi berkenaan iaitu Mohd Khairi Mohd Salleh. Dalam PRU kali ini, beliau akan ditentang oleh calon BN, Norsabrina binti Mohd Noor.

Calon PAS ini merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Putra Malaysia dan merupakan seorang pengurus sebelum menjadi calon dalam PRU kali ini.

Di peringkat parti, beliau merupakan Ketua Lajnah Penerangan PAS Kawasan Kulim/Bandar Baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan