Khamis, 27 Mac 2014

02 di sungai petani - Google Blog Search

02 di sungai petani - Google Blog Search


Hotel The Pure by Ri-Yaz dibina <b>di Sungai Petani</b> - Utusan Online

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh OPAT RATTANACHOT
ekonomi@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 18 Feb. - Syarikat pemaju hartanah tempatan, Dynamic Capital Sdn. Bhd. (Dynamic Capital) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) akan melabur sebanyak RM50 juta bagi membangunkan projek hotel empat bintang di Taman Sejati Indah di bandar ini.

Projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi akan dikendalikan oleh Kumpulan Ri-Yaz Hotels dan Resorts Sdn. Bhd. (Ri-Yaz) dengan jenama Hotel The Pure by Ri-Yaz Sungai Petani.

Pengerusi Eksekutif Dynamic Capital, Datuk Mahadi Abdul Shukor berkata, projek tersebut akan dibina di kawasan seluas 0.607 hektar berdekatan Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di Taman Sejati Indah, di sini.

Katanya, apabila siap kelak, hotel itu bakal dilengkapi dengan 119 bilik penginapan, sebuah dewan utama, bilik seminar, restoran, kolam renang dan sky cafe.

"Kami memilih Sungai Petani untuk membina hotel kerana bandar itu yang paling pesat membangun di kawasan utara buat masa ini.

"Selain itu, lokasi Sungai Petani juga strategik bagi tumpuan pembangunan hotel kerana terletak di tengah-tengah antara Pulau Pinang dan Alor Setar serta didokong oleh pertumbuhan sektor industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pecah tanah pembinaan hotel itu yang disempurnakan oleh Setiausaha MPSPK, Rohaizad Rashid.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Ri-Yaz, Datuk Shaheen Shah Mohd. Sidek dan Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman.

Mahadi berkata, projek tersebut dibiayai oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan dijalankan di bawah Tabung Pelancongan, Kementerian Pelancongan.

"Pembinaan hotel ini juga merupakan satu persediaan bagi menyambut pelancong dari dalam dan luar negara ke kawasan Sungai Petani yang makin rancak membangun sekarang. Malah bakal menjadi mercu tanda baharu bandar Sungai Petani yang dalam perancangan untuk dinaik taraf sebagai bandar raya pada tahun 2015," katanya.

Selain Sungai Petani kata beliau, pihaknya turut mempunyai perancangan untuk membina dua hotel di Langkawi dan Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Shaheen Shah berkata, Ri-Yaz merupakan syarikat pengurusan hotel profesional yang beroperasi di dalam dan luar negara.

"Pemilihan Ri-Yaz sebagai syarikat pengurusan hotel ini diharap dapat memenuhi kepuasan pelanggan dan menarik lebih ramai pelancong ke Sungai Petani. Pada masa sama, penduduk tempatan turut meraih manfaat dari segi pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kelak," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan