Sabtu, 29 September 2012

02 di langkawi - Google Blog Search

02 di langkawi - Google Blog Search


My Butter And Cheese: Pengalaman Island Hopping <b>di Langkawi</b>

Posted: 24 Sep 2012 01:55 AM PDT

Salam sahabat semua,
Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman island hopping di Pulau Langkawi. Ini merupakan kali kedua saya dan suami ke Langkawi setelah kunjungan kami yang pertama adalah hampir 5 tahun lepas. Pengalaman ke Langkawi kali ini agak berbeza kerana perancangan dibuat oleh suami secara spontan dan kami ke sana pula menaiki keretapi KTM dari KL Sentral ke Arau Perlis.

Pengalaman yang cukup-cukup bermakna buat kami terutamanya saya yang pertama kali menaiki keretapi... Saya sangat-sangat teruja biarpun dalam perjalanan ke sana, kami tidak dapat tidur dek kerana suasana yang bising di kabin kelas ketiga. Ada antara penumpangnya berdengkur dengan sungguh kuat dan menganggu penumpang lain..  Bila diingat-ingat semula memang kelakar! Tapi, itulah yang dikatakan pengalaman...

Kami mengambil pakej Island Hopping di Terminal Feri Pekan Kuah, di tempat yang sama kami menempah kereta sewa. Harga bagi seorang dewasa adalah RM45. Aktiviti ini menyediakan 2 sesi iaitu sebelah pagi dan juga di sebelah petang. Peserta boleh memilih untuk menaiki bot di Terminal Feri Pekan Kuah ataupun di Pantai Cenang. Kami memilih untuk menyertai aktiviti ini di sebelah pagi bermula jam 9 hingga jam 1 petang.

Pakaian yang bersesuaian bagi aktiviti island hopping ini adalah pakaian untuk mandi laut iaitu seluar trek dan tshirt. Ada di antara peserta yang memakai pakaian untuk bersiar-siar kerana tidak tahu pakaian yang bersesuaian. Sudahnya, mereka hanya dapat memerhati sahaja peserta lain mandi manda di pantai dan juga di tasik.

Suka saya kongsikan beberapa tips bagi yang menyertai aktiviti ini untuk membawa bekalan air dan makanan secukupnya kerana aktiviti ini mengambil masa yang agak lama dan tidak ada orang yang berniaga makanan mahupun minuman di pulau-pulau yang dilawati. Bekalan makanan dan minuman ini perlu dibawa dalam beg galas kerana jika anda membawanya dalam beg plastik, maka bekalan anda akan menarik perhatian monyet-monyet yang berkeliaran di Pulau Dayang Bunting kelak.

Jam 9 pagi, kami seramai 10 orang dibawa dalam sebuah bot ke destinasi pertama iaitu Pulau Beras Basah. Di sini peserta boleh mandi manda ataupun mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan disini seperti parasailing, snorkelling atau banana boat. Di Pulau ini juga tidak ada kemudahan tandas jadi pengunjung terpaksalah plan 'pembuangan' sebaik-baiknya. Setelah sejam kami disini, kami dibawa pula ke destinasi memberi makan burung helang atau "Eagle Feeding". Di sini, kami hanya duduk di dalam boat dan melihat helang yang berlegar-legar di angkasa mencari mangsa iaitu ikan-ikan di laut. Menurut pemandu bot kami, dulu pelancong dibenarkan memberi makan burung helang tetapi dek kerana masalah pencemaran laut dan juga keselamatan, pelancong tidak lagi dibenarkan memberi makan burung-burung helang di sini. Destinasi ketiga kami pula iaitu ke Pulau Dayang Bunting. Sebaik menghampiri pulau ini, jelas kelihatan pulau ini yang membentuk seolah-olah seorang perempuan mengandung yang sedang berbaring. Kami tiba di pulau ini dengan disambut oleh monyet-monyet liar yang berkeliaran mencari beg plastik yang dibawa pengunjung. Ada antara ahli kumpulan kami yang membawa beg plastik berisi air mineral dirampas oleh monyet di sini. Mujurlah dia tidak diapa-apakan oleh monyet tersebut. Tiba di pulau ini, kami perlu memanjat bukit tersebut untuk ke Tasik Dayang Bunting. Walaupun penat memanjat bukit tersebut, namun hasilnya sungguh berbaloi. Cantik sungguh pemandangan tasik tersebut dengan airnya yang berwarna hijau. Disini, pelancong dibenarkan mandi manda di tasik ataupun menaiki bot solar yang boleh disewa dengan harga RM30 selama setengah jam atau paddle boat dengan harga RM20 juga selama setengah jam. Disini juga tidak ada Life Guard jadi segala aktiviti di sini adalah atas tanggungjawab sendiri. Menurut lagenda tasik dayang bunting, sesiapa yang berkehendakkan cahayamata perlu minum air di tasik ini dan berniat mudah-mudahan Allah mengurniakannya anak. Bagi yang hendak minum atau mengambil air di tasik ini, pengunjung dinasihatkan agar mengambilnya di tengah tasik kerana air di tepi tasik agak tercemar dengan aktiviti mandi manda. Kami menghabiskan masa di tasik ini selama lebih kurang dua jam dan mendaki semula bukit untuk menaiki bot untuk pulang ke Terminal Jeti Pekan Kuah. Dalam perjalanan pulang, pemandu bot membawa kami melihat Gua Kelawar dan Pusat Ternakan Ikan dengan tambahan harga RM10 seorang. Aktiviti tambahan ini merupakan optional dan tidak terdapat dalam pakej Island Hopping. Di Gua Kelawar kami berkesempatan melihat kelawar yang bergantungan di dinding gua. Manakala di Pusat Ternakan Ikan pula, kami berkesempatan memberi makan ikan-ikan yang diternak di dalam sangkar. Selesai aktiviti tersebut, kami dibawa pulang semula ke Terminal Feri dan perlu bersiap-siap untuk check out hotel dan menaiki Feri untuk ke Terminal Feri Kuala Perlis. Tiket keretapi KTM kami jam 7 petang, dan kali ini kami merasai pengalaman menaiki keretapi Kelas Pertama yang ada kabin dan ruang tidur. Walaupun harga tiket Kelas Pertama dan Kelas Ketiga adalah dua kali ganda, namun pengalaman menaikinya adalah yang paling menyeronokkan. Pengalaman island hopping di Langkawi ini membuatkan kami teruja untuk ke Langkawi semula. Dek kerana keterujaan tersebut maka kami telahpun membeli tiket keretapi KTM untuk hujung minggu ini dan kali ini kami akan menyertai aktiviti Snorkelling di Pulau Payar pula. Insya Allah, pulang dari Langkawi nanti akan saya kongsikan pula pengalaman snorkelling di sana....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan