Ahad, 8 September 2013

02 di kuala ketil - Google Blog Search

02 di kuala ketil - Google Blog Search


Petikan Akhbar Mengenai Kolej INSANIAH | <b>Kuala Ketil</b>

Posted: 01 Sep 2013 01:11 AM PDT

ALOR SETAR – Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah semalam dikejutkan dengan pendedahan kepincangan pengurusan dan kewangan anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain (BN-Tanjong Dawai) yang mendedahkan perkara itu semasa menggulung perbahasan, mengemukakan bukti dengan fakta serta contoh berdasarkan siasatan dan audit dalaman.

Pendedahan itu mengejutkan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) yang bangun mencelah dan berkata apa yang didakwa itu di luar pengetahuan barisan Exco ketika Kedah ditadbir pakatan pembangkang.

Tajul Urus berkata pembayaran gaji yang tinggi kepada ketua pegawai Eksekutif IHSB sehingga RM35,000 sebulan selain tindakan IHSB menubuhkan anak-anak syarikat yang tidak perlu menyebabkan berlaku pertindihan fungsi sedangkan ia boleh laksanakan sendiri oleh Kuin.

Menurutnya anak-anak syarikat tersebut menjalankan operasi akademik yang menelan kos tinggi seperti Insan Maya Sdn Bhd menguruskan Kuliah Multimedia, Insan Hospitality Sdn Bhd menguruskan Kuliah Hospitaliti dan perkhidmatan halal, Insan Fasih Sdn Bhd dan Insan Medic Sdn Bhd bagi Kuliah Perubatan.

"Kesemua program akademik ini boleh dijalankan di bawah Hal Ehwal Akademik (HEA) Kuin dengan kos lebih rendah," kata Tajul Urus.

Beliau berkata unit penyelenggaraan melibatkan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan juga diserahkan kepada IHSB dan kos untuk kerja-kerja itu bagaimanapun dibayar oleh Kuin.

Pelantikan kakitangan juga tidak mengikut prosedur dan kelayakan serta terdapat pensyarah dilantik tanpa temuduga, ada yang diberikan kerja dahulu dan temuduga kemudian, tambahnya.

"Bayaran gaji tidak mengikut skim gaji dan pelantikan pensyarah tidak berdasarkan kelayakan MQA. Pensyarah Kreatif Thinking berkelayakan bidang Ijazah ICT. Pensyarah Bahasa Arab tetapi kelayakan bidang Ijazah Usuluddin," katanya.

Tajul Urus berkata kebanyakan keputusan dan tindakan IHSB bercanggah dengan syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau turut menyenaraikan penyelewengan, pembaziran kewangan besar termasuk kompaun oleh KPT serta tindakan mahkamah terhadap Kuin. – Bernama

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah petugas Insaniah Holding Sdn Bhd yang tidak mendapat gaji, sejak Mei lalu.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, isu tuntutan gaji tertunggak itu tidak sepatutnya diajukan kepada kerajaan negeri kerana ia tiada kaitan secara langsung dengan Insaniah Holding.

"Insaniah Holding merupakan satu anak syarikat di bawah Kolej Universiti Insaniah (Kuin), jadi kerajaan negeri memang tidak ada kaitan dengannya kerana selama ini kita hanya berurusan dengan Kuin dan bukannya dengan Insaniah Holding.

"Tetapi kakitangan Insaniah Holding masih menuntut supaya kerajaan negeri membantu membayar tuntutan gaji yang tertunggak itu. Kita faham situasi mereka, jadi kita akan selesaikan masalah ini di luar bidang kuasa Kuin itu sendiri," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya mencari jalan untuk membayar gaji petugas Insaniah Holding atas dasar ehsan walaupun tidak mempunyai sebarang kaitan dengan anak syarikat Kuin itu.

"Jalan penyelesaian akan dicari tetapi mungkin nanti akan ada pihak yang masih tidak berpuas hati kerana gagal untuk mendapatkan gaji seperti sebelum ini.

"Saya ingin jelaskan bahawa masalah yang timbul ini sebenarnya berakar umbi daripada Insaniah Holding itu sendiri, apabila berlakunya perubahan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, masalah ini secara langsung telah diwariskan kepada kami," kata Mukhriz.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengenai kos anggaran nilai gaji tertunggak yang berjumlah RM2.7 juta itu, Mukhriz berkata perkara itu merupakan masalah yang rumit.

"Seperti yang sedia maklum, Insaniah Holding telah beroperasi seolah-olah seperti Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) jadi dari situ kita faham bahawa kerajaan negeri sama sekali tidak terlibat dengan semua pengurusan termasuklah pembayaran gaji.

"Saya pelik kerana cara operasinya seperti IPTS tetapi masih bergantung pada dana kerajaan di mana setiap bulan masih meminta pembayaran gaji kepada kakitangan," katanya.

Beliau juga menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil apabila kerajaan negeri yang harus membayar tunggakan gaji berkenaan.- Bernama

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah akan memberi perhatian kepada kebajikan pelajar dan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dalam menangani pelbagai masalah yang berlaku di kolej universiti milik kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri mahu menyelesaikan masalah Kuin satu persatu tanpa ada sebarang unsur politik.

Beliau agak terkilan kerana ada pihak tertentu yang cuba memperlihatkan dan menimbulkan sesuatu yang ditolak oleh warga Kuin.

"Kerajaan negeri nak jaga kepentingan seluruh rakyat negeri ini. Jika ada sebilangan pelajar yang tak puas hati nak kena pindah dari (kampus induk) Kuala Ketil (ke kampus lama di Mergong), itu bukan keutamaan kita.

"Sebelum ini mereka telah kemukakan memorandum (berkenaan pelbagai masalah) di Kuin Mergong. Mereka (pelajar dan warga Kuin) tak perlu bimbang kerana kita telah sediakan kemudahan kelas dan asrama yang mencukupi (di Mergong)," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini semalam.

Pada majlis itu Mukhriz turut mengedarkan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk Yayasan Islam Kedah (Yiked) kepada orang ramai serta peniaga di bazar tersebut.

Mukhriz berkata sebelum ini terdapat pelbagai masalah di Kampus Kuin Kuala Ketil seperti kemudahan asrama pelajar yang tidak disediakan serta kakitangan kolej itu yang terpaksa berulang-alik dari Alor Setar ke Kuala Ketil.

Katanya pihaknya akan mengambil pendekatan berjumpa dengan wakil pelajar kolej itu bagi menerangkan kepada mereka tindakan kerajaan negeri lakukan bagi memastikan masalah yang berlaku dapat diatasi secara berperingkat.

"Ia akan mengambil sedikit masa untuk atasi pelbagai masalah dan kita minta semua pihak bersabar bagi membolehkan kerajaan negeri selesaikan satu persatu," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata kerajaan negeri merancang untuk mempromosikan bazar Ramadan sebagai satu daripada produk pelancongan di negeri ini yang menawarkan pelbagai juadah istimewa.

Katanya beliau yakin pelancong asing yang datang ke bazar Ramadan akan tertarik dengan melihat pelbagai juadah yang hanya ditemui pada bulan itu sahaja. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan